Tindakan pihak tertentu yang menggunakan media sosial untuk mencalarkan imej dan reputasi Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dianggap tidak melakukan 'kerja rumah' terlebih dahulu.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menegaskan, cubaan itu seperti mengutip fakta di tepi jalan tanpa asas yang kukuh.

"Ia sekali gus menidakkan peranan dan sumbangan yang telah dilakukan oleh wakil rakyat Titiwangsa selama ini," tegasnya dalam catatan terbaharu di laman umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

BACA: Johari Abdul Ghani layak jadi Menteri Besar Selangor - Penganalisis

BACA: JKM dan Baitulmal perlu ambil kira kesusahan penduduk dalam bandar - Johari

Syed Ali berkata, sejak memenangi kerusi Parlimen Titiwangsa pada PRU-13, Johari telah melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan di kawasan berkenaan.

"Sikap rendah diri, turun padang dan ambil peduli permasalahan rakyat menjadikan Johari disayangi ramai," jelasnya.

Beliau menyangkal dakwaan artikel dalam sebuah portal yang mendakwa Johari bukan calon sesuai di Parlimen Titiwangsa.

Menurut Syed Ali, dakwaan tersebut amat prejudis, tidak bertanggungjawab dan cubaan pembangkang untuk 'cah keting' Johari di Titiwangsa.

"Saya selaku Setiausaha Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan menyokong penuh Johari selaku Ahli Parlimen Titiwangsa.

"Kita juga akan bekerja keras bagi memastikan kemenangan berganda buat Johari seandainya dia sekali lagi dicalonkan bertanding di Titiwangsa.

"Saya yakin Johari akan terus kekal kerana pengundi Titiwangsa masih memerlukan beliau, malah keupayaannya menumbangkan calon PAS pada PRU lalu merupakan pencapain terbaik," katanya.

Tambah beliau, walaupun kali pertama dicalon bertanding pada PRU-13 tetapi Johari berjaya mengalahkan calon PAS.

"Ini membuktikan pengundi Titiwangsa mahukan Johari sebagai wakil rakyat untuk meneruskan agenda pembangunan, bukannya calon pembangkang yang sentiasa beretorik," tegasnya.