Prinsip perjuangan demi agama, bangsa dan negara perlu menjadi pegangan buat mereka yang ingin bertanding pada pemilihan Bersatu Jun ini, dan bukan menjadikannya platform untuk mengejar jawatan dan peluang bergelar calon pilihan raya.

Setiausaha Agung Bersatu Datuk Marzuki Yahya yang memberikan peringatan itu berkata tiada tempat bagi mana-mana individu yang berhasrat untuk bertanding pada pemilihan parti semata-mata bagi mengejar sesuatu untuk kepentingan diri.

"Penubuhan Bersatu bukan kerana jawatan dalam parti, untuk kepentingan individu. Tidak ada guna ada perebutan sewaktu pemilihan ini bagi pelbagai jawatan tetapi parti ini tidak dihormati dan kalah dalam pilihan raya.

"Dalam prinsip kekeluargaan, keharmonian itu penting, bukan saling berpecah-belah, menjatuhkan satu sama lain kerana jawatan dan pangkat. Ia tidak kekal tapi yang akan kekal adalah kesejahteraan dan kemakmuran negara jika kita bersatu-padu," katanya sewaktu ditemui Bernama di pejabatnya baru- baru ini.

Bersatu akan mengadakan perhimpunan agung selama empat hari bermula 25 Jun ini, dan turut akan menjalankan pemilihan buat pertama kali sebelum perhimpunan itu. Pencalonan bagi pemilihan parti akan bermula 26 Jan, disusuli mesyuarat peringkat cawangan mulai 15 Feb sehingga 29 Mac manakala mesyuarat di peringkat bahagian pada 18 April.

Jumlah bahagian yang layak bersidang sebanyak 189 manakala jumlah ahli yang layak mengambil bahagian dalam persidangan 363,167.

Sewaktu mesyuarat cawangan akan diadakan pemilihan barisan jawatankuasa peringkat cawangan dan bahagian termasuk sayap Srikandi dan Armada.

Persidangan bahagian pula akan memilih Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), iaitu barisan kepemimpinan parti peringkat pusat. Persidangan Srikandi dan Armada Bahagian pula perlu diadakan sebelum persidangan bahagian dan ia akan memilih Jawatankuasa Srikandi dan Jawatankuasa Armada pusat.

Marzuki yang juga timbalan menteri luar berkata melihat kepada usia parti yang masih lagi muda dan baharu, agar sukar bagi kepimpinan untuk membaiki keretakan andai ada perpecahan kerana dek mengejar jawatan dan pangkat sewaktu pemilihan.

Justeru, katanya setiap ahli perlu menggunakan ruang dalam pemilihan itu untuk memilih kepimpinan yang terbaik dalam usaha membantu kedudukan parti agar terus menjadi 'pendinding' kerajaan sewaktu diuji, dihentam dan diserang kritikan serta kecaman pelbagai pihak.

Tegasnya, ini kerana rakyat akan menilai sejauh mana Bersatu, ahli dan kepimpinan mampu bertahan dalam kedudukan ketika ini dan terus memperjuangkan nasib mereka khasnya dalam membantu merapatkan jurang selain meningkatkan ekonomi negara.

"Orang yang pertikai cara kerja kita ini akan sentiasa ada. Kita seharusnya menggunakan peluang yang ada untuk memperbaiki negara bersama-sama Dr Mahathir (Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga pengerusi Bersatu).

"Kita perlu ada legasi yang baik untuk ditinggalkan kepada anak muda, pewaris negara dengan memperbaiki kelemahan yang ada, mengelakkan perpecahan kaum, tidak bermain sentimen atau perkara sensitif hingga merosakkan negara," katanya.

Marzuki turut menepis cakap-cakap kononnya Bersatu akan berkubur tanpa kehadiran Dr Mahathir satu hari nanti kerana menurutnya, pemimpin datang dan pergi tetapi yang kekal adalah asas perjuangan parti yang perlu disemai dan ditanam setiap ahli, termasuk yang tidak mempunyai jawatan.

"Sudah pastinya patah tumbuh hilang berganti. Apa yang diserapkan Tun (Dr Mahathir) kepada kami selama ini adalah semangat perjuangan dan setiap kehendak mahupun kepentingan diri diletakkan di tepi, kepentingan negara pula kita angkat," katanya.

Sejak ditubuhkan pada 24 Jun 2016, Bersatu kini mempunyai 377,057 ahli daripada 2,946 cawangan di seluruh negara.

-- BERNAMA