Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengadakan mesyuarat dan Perhimpunan Agung pertamanya selama empat hari bermula 25 Jun ini.

Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pencalonan bagi pemilihan parti akan bermula pada 26 Jan, disusuli mesyuarat peringkat cawangan yang bermula 15 Feb hingga 29 Mac manakala mesyuarat di peringkat bahagian pada 18 April.

"Jumlah bahagian yang layak bersidang adalah 189 manakala jumlah ahli yang layak mengambil bahagian dalam persidangan adalah 363,167 (ahli)," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di sini pada Jumaat.

Menurut Dr Mahathir, jumlah ahli parti yang layak mengambil bahagian dalam persidangan parti berkenaan diperoleh selepas parti itu menjalankan proses pemutihan ahli.

BACA: Selepas empat tahun penubuhan, Bersatu bakal hadapi pemilihan

BACA: Ada pengecualian khas benarkan bekas ahli UMNO bertanding dalam Bersatu - Tun Mahathir




Mengenai tempoh penggantungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil Adhif Shan Abdullah sebagai Ketua ARMADA Selangor dan beberapa ahli Bersatu lain yang masih dalam siasatan polis berhubung kes dadah, Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri berkata ia akan ditentukan kemudian.

"Setakat ini parti belum ada keputusan dan kita kena tunggu siasatan kes ini dijalankan terlebih dahulu," katanya.

Pada Khamis, Adhif Shan digantung serta-merta daripada jawatannya sebagai Ketua ARMADA Selangor dan tindakan sama turut diambil ke atas Penolong Setiausaha sayap parti itu, Ahmad Redzuan Mohamad Shafi.

BACA: ADUN Dengkil, Adhif Syan nafi ditahan polis, positif dadah

BACA: Dakwaan ADUN ditahan: KPN sahkan 16 daripada 17 positif dadah, identiti tidak didedah

Media baru-baru ini melaporkan, Adhif Shan ditahan bersama 16 yang lain dalam serbuan polis di sebuah unit kondominium di Jalan Puchong, dengan hasil saringan awal mendapati 16 daripada mereka dikesan positif dadah.

-- BERNAMA