Majlis Presiden Pakatan Harapan akan menentukan bila tarikh yang sesuai bagi tempoh peralihan kuasa Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, kata Naib Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menteri Ekonomi itu berkata perkara tersebut tidak dibincangkan lagi kerana apa yang penting pada masa ini ialah PH memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

“Konsensus sudah ada, seperti apa yang Tan Sri Muhyiddin Yassin katakan (ceramah), konsensus PH itu sudah dimuktamadkan dan kita tunggu masa sesuai untuk Anwar ambil alih kepimpinan negara.

“Cuma masanya PH akan bincangkan kelak,” katanya kepada media selepas menghadiri program Majlis Doa Selamat, Tahlil dan Solat Hajat di Masjid Kariah, Port Dickson.

Turut hadir, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu.

BACA: Demi kawan, Muhyiddin turun berkempen walaupun uzur

Sebelum ini kerusi Parlimen Port Dickson disandang Datuk Danyal Balagopal namun beliau melepaskan jawatannya bagi memberi laluan kepada Anwar.