Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis terhadap anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Nor Adam yang mendakwa PH membeli kad pengenalan Orang Asli bagi menghalang mereka daripada mengundi pada pilihan raya kecil Cameron Highlands.

Penolong ketua pusat operasi Pakatan di Jelai, Arvind Bharet menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah dan berniat jahat yang bertujuan untuk mencemarkan imej PH kepada umum pada pilihan raya ini.

"Saya ingin menekankan bahawa PH tidak akan membiarkan tindakan seumpama kerana kami yakin bahawa mengundi itu adalah hak bagi setiap rakyat dalam sebuah negara demokrasi dan hak itu sepatutnya tidak dicabuli dalam apa cara sekali pun," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Laporan polis itu dibuat semalam di Balai Polis Sungai Koyan oleh Arvind sendiri.

Lokman dilaporkan oleh media sebagai mendakwa bahawa "sumber" Barisan Nasional telah membongkar bahawa beberapa "individu" mencuba untuk membeli kad pengenalan daripada kira-kira 2,000 pengundi Orang Asli di kawasan berkenaan dan menambah bahawa ini adalah taktik terbaru oleh gabungan berkenaan untuk menang pada pilihan raya kecil Cameron Highlands.

Sementara itu, calon PH bagi pilihan raya kecil itu, M. Manogaran apabila ditemui para pemberita semasa pusingan kempennya hari ini berkata beliau tidak mengetahui mengenai laporan polis itu.

"Saya tidak tahu pun perkara ini, saya perlu periksa mengenainya," katanya ringkas.

Terdahulu Manogaran melawat gereja Chapel of Our Lady of Mount Carmel dan pasar tani di sini.

Mengulas mengenai kempen beliau yang kini memasuki hari kesembilan, beliau mengakui bahawa banyak lagi kerja dan pertemuan dengan pengundi perlu diadakan dengan tumpuan kepada komuniti Orang Asli untuk selebih lima hari berkempen ini.

Ditanya mengenai perancangan beliau jika cubaan kali kedua untuk menang di Cameron Highlands beliau berkata, menang atau kalah dalam pilihan raya adalah sebahagian daripada pertaruhan.

"(Cuma) PH adalah Kerajaan Persekutuan, jika menang ia baik untuk orang ramai. Jika saya kalah saya akan terus bekerja menerusi Pejabat Penyelaras Parlimen bagi menyalurkan perkhidmatan," katanya.

Pada perlawanan empat penjuru pilihan raya kecil Cameron Highland, Manogaran akan bertanding menentang bekas pegawai kanan polis Ramli Mohd Nor, 61, yang mewakili Barisan Nasional dan dua calon bebas iaitu Sallehudin Ab Talib, 61, seorang bekas pensyarah kanan Institut Aminudin Baki dan Wong Seng Yee, 40, seorang pekebun.

Pilihan raya kecil itu akan diadakan susulan Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Nov tahun lepas membubarkan kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk C.Sivarraajh pada Pilihan Raya Umum ke-14 atas sebab membeli undi.