Empat puluh calon PKR dalam Pilihan Raya Negeri ke-11 hari ini membuat lima tuntutan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk menuntut kenaikan peratusan royalti minyak kepada negeri itu.

Pengarah Pilihan Raya PKR negeri, See Chee How berkata, kesemua tuntutan itu yang dikemukakan calon-calon PKR pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-11 yang sedang berlangsung, mempunyai kaitan dengan kepentingan rakyat negeri itu.

“Ini adalah penting untuk kami menyuarakan kepada Perdana Menteri. Susulan dia di sini, kami melihat peluang untuk membuat lima tuntutan bagi pihak rakyat Sarawak,” kata Chee How pada sidang media di sekitar kawasan luar Bangunan Wisma Bapa Malaysia di sini siang tadi.


Lima tuntutan itu adalah untuk memberi 20 peratus royalti minyak untuk Sarawak, pembatalan Akta Laut Wilayah 2012 serta Perjanjian Petroleum Tiga Pihak 1974, pengiktirafan penuh Sijil Peperiksaan Bersatu dan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah di negeri itu.

Menurut Chee How lagi, kesemua tuntutan itu sepatutnya dikemukakan kepada perdana menteri di Wisma Bapa Malaysia, namun mendakwa telah dihalang pihak berkuasa.

Dia yang juga calon PKR bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Lintang mahu agar Najib memberi maklum balas segera terhadap tuntutan itu.



Mengikut perancangan, PKR dijadualkan mengadakan satu sidang media tergempar di pintu masuk Wisma Bapa Malaysia, lokasi mesyuarat mingguan Kabinet Persekutuan yang berlangsung pagi tadi.

Bagaimanapun, setelah dihalang untuk menghampiri kawasan bangunan terbabit, mereka telah mengadakan sidang media di bawah pokok tidak jauh daripada bangunan berkenaan.

Antara yang hadir ialah pemimpin PKR Pusat dan Negeri, anggota exco, Naib Presiden PKR Dr Xavier Jayakumar, Naib Ketua Pemuda PKR Fahmi Fadzil dan calon PKR untuk PRN Sarawak yang lain.

Sementara itu Najib ketika menjawab soalan pihak media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet berkata kejatuhan harga minyak dunia telah menyebabkan kenaikan royalti minyak kepada negeri Sarawak tidak sesuai dipertimbangkan buat masa sekarang.