Pas tidak mahu terpalit dengan sebarang isu melibatkan UMNO sekali gus memungkinkan tiada sebarang kerjasama di antara dua parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis pada 4 Ogos depan.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Kamaruzaman Yusof menjelaskan, ia turut menolak sebarang penyatuan dua parti pembangkang yang berdepan isu penguasaan politik Melayu dan Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun jelasnya, Pas mungkin mengikut saranan Setiausaha Agung mereka, Datuk Takiyuddin Hassan yang parti itu hanya akan meletakkan calon sekiranya berlaku pertandingan satu lawan satu di kawasan berkenaan.

"Jika sekiranya UMNO masuk, sebab nampaknya kawasan itu UMNO lebih dominan sebab jumlah undi mereka dapat pada PRU lepas. Jika UMNO masuk, Pas tidak masuk atas nama kesatuan Melayu dan sebagainya.

"Tetapi apabila terlalu banyak pimpinan UMNO yang terpalit isu 1MDB, SRC, salah guna kuasa dan sebagainya, saya nampak kemungkinan Pas tidak akan beri kerjasama secara langsung dengan UMNO dalam kempen pilihanraya kerana takut nama Pas itu terpalit sama dengan apa dilakukan UMNO.

"Sedangkan pada masa sama banyak tohmanah atau sebaran yang mengatakan PH banyak melakukan pelbagai kesilapan sepanjang tempoh sebelum 100 hari ni, tetapi rakyat masih menunggu janji sehingga 100 hari, sama ada PH dapat buktikan atau tidak melaksanakan janji itu," katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

BACA: UMNO perlu calon luar yang popular di Sungai Kandis - Penganalisis

BACA:
PRK Sungai Kandis: 'Ini perjuangan dan cara baharu, kita akan tetap lawan' - Noh

Kamaruzaman mengulas hubungan UMNO dan Pas pasca PRU-14 dengan melihat PRK Sg Kandis sebagai ujian sama ada dua parti melayu terbesar ini mampu berkompromi dalam penentuan calon.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO bersama parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) akan melakukan perbincangan bersama Pas untuk meletakkan hanya seorang calon mewakili pihak pembangkang pada PRK Sungai Kandis.

Jelasnya, perbincangan itu dibuat sebagai salah satu strategi oleh pihak pembangkang untuk memastikan pertadingan satu lawan satu pada PRK itu sekali gus meningkat peluang calon terpilih untuk menang.

Sementara itu, bekas Setiausaha Pas Selangor, Norman Toha berkata, kedua-dua parti itu wajar melakukan 'ujian' penerimaan orang Melayu terhadap kerjasama Pas dan UMNO dengan meletakkan hanya seorang calon.

Ujarnya, kerjasama antara kedua-dua parti itu wajar kerana sebanyak 70 peratus pengundi di DUN Sungai Kandis adalah Melayu.

Dalam pada itu kata Kamaruzaman, Pas nampaknya cuba untuk mengelak daripada terus memberikan bantuan kepada UMNO walaupun mereka mempunyai musuh sama iaitu PH.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong susulan penyandang kerusi berkenaan Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.


Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 4 Ogos sebagai hari pengundian manakala hari penamaan calon pada 21 Julai ini.

Pada PRU14, Mat Shuhaimi memperoleh 23,998 undi menewaskan calon BN daripada UMNO, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon Pas, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hanafiah Husin (76).