Keputusan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat melantik Rafizi Ramli sebagai naib presiden yang baharu boleh mencetuskan pergolakan dalam parti itu.

Menurut penganalisis politik Universiti Malaya, Mohammad Tawfik Yaakub, ketegangan ini akan berlaku berikutan ketidaksefahaman di antara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli.

“Bagaimana dua seteru yang bertanding untuk jawatan timbalan presiden ini boleh bekerja antara satu sama lain.

“Mampukah Anwar sebagai Presiden PKR mengawal kedua anak muda ini untuk bersuara dalam organisasi parti secara bebas,” katanya kepada Astro AWANI.

Mengulas lanjut, Mohammad Tawfik berkata jalan terbaik ialah melalui pengunduran salah seorang kepimpinan sama ada Rafizi mahupun Mohamed Azmin.

“Rafizi boleh memberikan ruang lebih besar kepada Azmin untuk memajukan PKR bersama Anwar.

“Sekiranya Rafizi tidak menyertai PKR sebagai naib presiden, itu tidak menjadi masalah dan dia masih boleh membantu PKR,” katanya.

Menurutnya, Rafizi dapat membantu PKR menerusi kaedah lain, misalnya memberikan idea kepada parti melalui perbincangan bersama parti.

Sementara itu, menurutnya, Mohamed Azmin juga boleh cuba menyesuaikan diri dengan keputusan yang dibuat Anwar atau keluar parti.

“Beliau juga boleh mengambil tindakan yang drastik dengan meninggalkan parti ataupun membuka parti PKR baharu.

“Azmin boleh bawa para penyokongnya menyertai parti baharu dan ini tidak menjadi masalah," katanya lagi.

Pelantikan Rafizi Ramli ke jawatan asalnya selaku naib presiden dilihat menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan kem Azmin selepas pertarungan sengit ketika merebut jawatan Timbalan Presiden PKR baru-baru ini.

Azmin berkata pelantikan beberapa individu tertentu dalam kepimpinan tertinggi parti, seperti yang diumumkan Anwar, dilihat tidak mencerminkan prinsip ‘fair and just representation’.

Namun, Anwar bertegas dengan keputusannya selain menyifatkan pelantikan yang dilakukan itu bersifat inklusif dan bertujuan melindungi kepentingan semua ahli parti dan bukan hanya satu pihak.

BACA: Rafizi Ramli dilantik Naib Presiden PKR

BACA: Rafizi ucap terima kasih, akan balas mesej yang diterima