Tutup

Ramai keluar parti, UMNO hilang punca - Veteran parti

Ramai keluar parti, UMNO hilang punca - Veteran parti
ABDUL AZIZ: Orang muda terhakis kepercayaan kepada UMNO kerana pemimpin UMNO sendiri terpalit dengan berbagai-bagai isu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perjuangan dalam UMNO tidak lagi wujud seperti dahulu dan parti itu seolah-olah hilang punca selepas pelbagai isu melanda, terutamanya selepas kekalahan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata, kepimpinan UMNO tidak duduk bersama-sama untuk mencorak dan menggariskan masa depan parti.

Ini mengakibatkan keyakinan dalam kalangan ahli terhadap parti berkenaan kian pudar, katanya kepada Astro AWANI hari ini.

"Saya tak nampak perjuangan itu wujud seperti dulu. Selepas kekalahan pertama kali dalam PRU14, sepatutnya satu strategi baharu perlu dilakukan.
"Kalau tak buat cepat, sedikit demi sedikit akan terhakis kepercayaan, ahli-ahli yang sepatutnya mengungguli perjuangan, meninggalkan parti.

"Strategi perlu digerakkan secepat mungkin untuk meyakinkan ahli. Orang muda terhakis kepercayaan kepada UMNO kerana pemimpin UMNO sendiri terpalit dengan berbagai-bagai isu.
"Isu-isu ini mengheret UMNO, sebagai satu badan perjuangan politik, ke bawah," katanya mengulas tindakan sebahagian besar barisan kepemimpinan UMNO yang meninggalkan parti itu mutakhir ini.

BACA: Hamzah Zainudin antara 6 ahli Parlimen keluar UMNO 

BACA: Ada yang tidak kena dengan UMNO sekarang - Rahman Dahlan

Katanya, setakat ini tiada gerakan dilakukan pemimpin UMNO untuk masuk ke pelusuk negara, terutamanya di Sabah, sehingga kebanyakan UMNO Bahagian membuat keputusan sendiri, termasuk keluar parti.

Veteran UMNO itu berkata, nilai-nilai murni seperti amanah, ilmu dan adab perlu dipulihkan kembali.

"Jika ada pemimpin yang tercemar dengan isu ini, perlu muhasabah dan mengasingkan diri supaya ia tidak memudaratkan kepercayaan anak muda terhadap UMNO," tambahnya.

BACA: Presiden UMNO, lepaslah jawatan... - Pemuda Kedah

BACA: 13 wakil rakyat UMNO Sabah, keluar parti