Rombakan Kabinet yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak wajar diukur kepada jumlah perubahan semata-mata namun kepada untaian pengalaman dan ketokohan pemimpin yang terlibat.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, tindakan tepat Najib terbukti apabila membawa nafas dan tenaga baru di dalam dua portfolio teras kerajaan iaitu kewangan dan perancangan ekonomi.

"Dua tokoh yang menerajui dua portfolio ini adalah mereka yang sangat faham dengan perkaitan dasar ekonomi dan kesan langsungnya kepada rakyat.

"Pengalaman masih lagi menjadi sandaran penting kepada rombakan yang dibuat. Tokoh berpengalaman seperti Tan Sri Noh Omar dan Datuk Johari Abdul Ghani pastinya memberi lebih kekuatan kepada kabinet sedia ada," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bekas menteri dan seorang timbalan menteri dilantik sebagai menteri penuh dalam rombakan dan penyusunan semula Kabinet yang diumumkan Najib pada Isnin.

BACA: LAPOR LANGSUNG Rombakan Kabinet 2016

Rombakan kali ini adalah bagi mengukuhkan lagi pentadbiran sedia ada bagi memastikan agenda pembangunan kerajaan untuk terus berjalan dengan baik.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin percaya penyusunan semula Kabinet memberi semangat dan dinamik baharu dalam pimpinan Kerajaan.

Khairy yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO turut mengalu-alukan kemasukan semula Noh Omar ke barisan Kabinet dan percaya pengalamannya selama ini dapat dimanfaatkan di Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.