Parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah nanti perlu menilai kepentingan meletakkan wanita sebagai calon mereka.

Ini memandangkan golongan itu mempunyai kualiti, berintegriti dan keupayaan mentadbir sama seperti kaum lelaki.

Menurut Pemimpin Muda Kumpulan Daya Tindakan Wanita Sabah (SAWO), Amanda William, sudah sampai waktunya golongan wanita tampil menunjukkan kebolehan mereka dalam landskap politik negeri bagi menggalas harapan kaum hawa di masa hadapan.

"SAWO berharap agar pada PRN Sabah nanti akan lebih banyak calon wanita ditampil dalam usaha memperkasa golongan hawa.

"Pada zaman sekarang, wanita mempunyai kebolehan sekali gus memainkan peranan bukan sahaja untuk kesejahteraan keluarga tetapi juga komuniti dan pembangunan negara," katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Terdahulu, kerancakan PRN Sabah semakin terasa dengan setiap parti bertanding kini mempersiapkan langkah untuk calon-calon mereka diketengahkan termasuk calon wanita.

Bagaimanapun, bagi setiap parti politik baik Parti Warisan Sabah (Warisan), Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan lain-lain parti tempatan setakat ini, belum memberi bayangan calon daripada kaum hawa.

Hanya Parti Bersatu Sabah (PBS) sahaja dalam kenyataan medianya baru-baru ini mendedahkan kesediaan menampilkan calon muda dan juga golongan wanita.

Sementara itu, Amanda menambah, peluang harus diberi kepada golongan wanita bagi setiap parti bertanding supaya lebih memahami isu membelenggu mereka.

Antara permasalahan yang wujud adalah seperti hak kesamarataan, peluang pekerjaan dan sosio.

"Jadi itulah kita harus memberi peluang kepada calon-calon wanita, kerana mereka sebagai wanita mereka faham dalam semua golongan wanita kerana mereka tahu pengalaman, tahu di mana masalah yang dihadapi dan membawa perkara ini dalam perjuangan parti politik mereka," katanya.

Untuk rekod, SAWO merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sabah yang diwujudkan sejak tahun 1985 dan memperjuangkan isu-isu berkenaan wanita di negeri ini.