Datuk Saifuddin Abdullah berkemungkinan telah melanggar Perlembagaan UMNO kerana menghadiri Persidangan Meja Bulat Parti Pembangkang semalam, kata Khairy Jamaluddin.

Malah, Ketua Pemuda UMNO itu turut melihat wujud kewajaran kepada kepimpinan parti untuk mengarahkan Saifuddin mengemukakan surat tunjuk sebab atas kehadiran beliau pada persidangan itu.

"Ya, dia perlu menjawab (surat tunjuk sebab) kerana saya fikir ia merupakan satu pelanggaran disiplin (UMNO)," jelas Khairy, yang juga Menteri Belia dan Sukan, pada pelancaran Festival Score FitMob 2015 sempena Hari Sukan Negara, di Universiti Kolej KDU hari ini.

Beliau berpandangan kehadiran Saifuddin di program tersebut adalah tidak wajar.

Jelas Khairy, jika ia merupakan program debat atau forum, maka ia tidak menjadi masalah untuk Saifuddin hadiri.

Sebaliknya, program tersebut merupakan program yang membincangkan kerjasama politik parti pembangkang sekaligus menentukan hala tuju gabungan itu.

"Sepatutnya dia (Saifuddin) tidak ada di situ sebab itu adalah (persidangan) meja bulat parti pembangkang.

"Ya, kita boleh sertai debat, forum yang disertai pemimpin pembangkang. Saya pun ada sertai banyak kali, kita tiada masalah dengan itu.

"Kita boleh bekerjasama (dengan parti pembangkang) di Parlimen, malah dengan kerajaan negeri tetapi program parti politik yang membincangkan kerjasama pembangkang, saya rasa tidak wajar ahli parti lagi satu (Barisan Nasional) untuk menyertainya," katanya.

Semalam, Persidangan Meja Bulat Pembangkang telah bersetuju menubuhkan sebuah pakatan baharu, Pakatan Harapan menggantikan Pakatan Rakyat yang tidak lagi berfungsi.

Saifuddin, seorang bekas timbalan menteri dan juga bekas ahli parlimen Temerloh, dilaporkan hadir di persidangan tersebut bagi mewakili Akademi Belia, sebuah badan bukan kerajaan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam dilaporkan berkata akan memulakan prosedur disiplin kepada Saifuddin kerana menghadiri atau menyokong program atau agenda mana-mana parti pembangkang.