Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 hari ini berjalan lancar dan menyaksikan Barisan Nasional, BN menang tanpa bertanding di dua kerusi Dewan Undangan Negeri, DUN iaitu di Bukit Sari dan Bukit Kota.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah pada sidang media di pejabat SPR Kuching, pada Isnin.

"Sehingga tempoh percalonan ditutup, terdapat dua calon telah disahkan menang tanpa bertanding oleh Pegawai Pengurus Pilihan raya iaitu DUN N79 Bukit Kota, Dr Abdul Rahman Ismail dari Barisan Nasional N 82 Bukit Sari Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan Barisan Nasional," katanya media pada sidang media di pejabat SPR Kuching pada Isnin.

BACA: Lapor Langsung Hari Penamaan Calon

Pada PRN Sarawak 2011, tiada kerusi dimenangi oleh BN tanpa bertanding.

Ini merupakan kali kedua Awang Tengah yang Juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, PBB menang tanpa bertanding selepas 1996.

Pada pilihan raya negeri 1996, beliau menang tanpa bertanding di kerusi DUN Lawas, sebelum ia ditukar nama kepada Bukit Sari pada 2006, berikutan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Awang Tengah menang kerusi Bukit Sari mengalahkan Calon PKR Japar Suyut dengan majoriti 5,063 undi.

Manakala, Abdul Rahman menang kerusi berkenaan dengan majoriti 5,061 undi menewaskan calon DAP, Leong Kwang Yew dan dua calon Bebas, Usop Jidin serta Ladis Pandin.P

Sementara itu, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dicabar oleh calon PKR, Jazolkipli Numan dalam pertembungan satu lawan satu di kerusi DUN Tanjung Datu.


Manakala, Timbalan Presiden II PBB, Datuk Abang Johari Tun Opek yang, berdepan dengan pertandingan satu lawan satu dengan calon PKR, Mohamad Salleh Shawakat Ali bagi kerusi DUN Satok yang disandangnya.

PRN kali ini turut menyaksikan pertembungan lebih daripada dua penjuru di separuh daripada kerusi yang dipertandingkan.

Lima kerusi DUN membabitkan pertembungan lima penjuru, 12 DUN empat penjuru, manakala persaingan tiga penjuru di 28 DUN serta 35 DUN lagi satu lawan satu.

Dalam pada itu, BN berdepan dengan lebih daripada satu parti pembangkang di 16 kerusi, termasuk lima penjuru di DUN Simanggang membabitkan PKR, DAP, DNP dan Bebas.

Bagi parti pembangkang seperti PKR, DAP, PAS dan Amanah, turut menyaksikan pertembungan sesama sendiri di beberapa kerusi DUN.

Ia termasuk pertandingan PKR dan DAP di DUN Mulu, Senadin, Samalaju Ngemah, Bukit Semuja dan Mambong.

Manakala Parti Amanah yang dianggotai ramai bekas pemimpin dan ahli PAS turut bertembung dengan PAS di beberapa kerusi seperti Beting Maro, Sibuyau, Sadong Jaya, Muara Tuang dan Samariang.

Hari pengundian bagi PRN Sarawak pada 7 Mei ini.