Pengumuman Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan membawa impak positif kepada penduduk Langkawi.

Kebanyakan yang ditemui menyifatkan ia masa terbaik Tun Dr Mahathir Mohamad memberi perkhidmatan sebaik mungkin di Parlimen miliknya.

Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Ayer Hangat, Juhari Bulat menegaskan, keputusan itu memberi rahmat bagi penduduk di Langkawi.

“Saya gembira Tun Dr Mahathir dapat masa terluang banyak dan boleh jadi Tun Mahathir akan ada masa panjang di Langkawi, dapat memikirkan apa-apa pembangunan di Langkawi.

“Soal politik itu tidak apa, kalau kita buat kerja elok, rakyat akan pilih, itu tidak payah kita fikir sangat.

“Saya alu-alukan kepulangan Tun Mahathir ke Langkawi untuk menghabiskan perkhidmatan selama tiga tahun lagi di Langkawi... Welcome, Tun,” katanya semasa ditemui di kediamannya pada Sabtu.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan selaras dengan Perkara 402(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam satu kenyataan media, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata baginda berpandangan Muhyiddin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Dalam perkembangan berasingan, Juhari menjelaskan, pentadbiran di negeri Kedah perlu dikekalkan seperti yang diumum Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir baru-baru ini.

“Di negeri Kedah saya rasa kita perlulah kekal dengan pentadbiran utama dengan Mukhriz sama dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu mentadbir negeri Kedah dan kita tidak ada keperluan untuk menukar Menteri Besar.

“Itu terpulang kepada politik pusat sama ada hendak pindahkan Mukhriz ke Kuala Lumpur dan hendak menggantikan tokoh lain. Kita terima sahaja.

“Saya harap kalau kita kekalkan lebih baik. Saya tidak mahu suhu politik di Kedah sama seperti suhu politik di pusat baru-baru ini. Sama-sama kita berdoa, kita habiskan penggal yang berbaki tiga tahun lagi,” ujarnya.

Mukhriz sebelum ini dilaporkan berkata, pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah kekal dipimpinnya selepas 19 ADUN PH Kedah, bersetuju untuk menyokong kepimpinan beliau meskipun sebarang kata sepakat di peringkat pusat masih belum dapat dicapai.

Menurut Mukhriz, tindakan mewujudkan kepimpinan kerajaan negeri yang berstatus PH dan Bersatu ini adalah bagi menjamin kesepakatan serta proses perjalanan kerajaan negeri Kedah berjalan seperti biasa.