Datuk Mahfuz Omar yang mengumumkan keluar Pas berkuat kuasa 11.59 malam ini memberi tempoh hingga penghujung Januari 2018 untuk membuat keputusan mengenai langkah seterusnya.

Bekas Naib Presiden Pas itu berkata, beliau menetapkan masa sebulan sebelum mengambil langkah sama ada akan menyertai mana-mana parti dalam Pakatan Harapan.

"Sekarang merupakan tempoh bertenang. Insya-Allah sebulan lagi akan umum (sama ada sertai mana-mana parti).

"Pengumuman itu nanti akan dibuat pada satu sidang media khas di Kuala Lumpur," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu ketika dihubungi Astro AWANI di sini pada Ahad.

Terdahulu hari ini, Mahfuz memberitahu satu sidang media di Alor Setar, beliau mendapat tawaran daripada rakan-rakan dalam Pakatan termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Amanah, PKR dan DAP.

Ditanya sama ada beliau akan mengekalkan kerusi Parlimen yang diwakilinya, beliau berkata, perkara itu bukan keutamaan.

Malah, katanya, apa yang penting baginya selama berkecimpung dalam arena politik adalah untuk umat dan negara.

"Saya tidak terfikir lagi hendak bertanding atau tidak. Semua itu terpulang kepada pucuk pimpinan gabungan saya kelak.

"Saya lebih susah hati kalau rakyat susah dan akan senang hati kalau rakyat senang hati," katanya.

Selain itu, Mahfuz menambah, beliau tidak akan membuang kenangan sepanjang menyertai Pas dalam lipatan sejarah hidupnya.

"Sejarah tidak boleh dimansuhkan dan saya tidak akan membuang sejarah saya dalam Pas," katanya.