Barisan menteri Kabinet yang akan dilantik oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muyiddin Yassin merupakan mereka yang melepasi tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bayangan sedemikian dimaklumkan Muhyiddin kepada Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam pertemuan antara mereka yang berlangsung pada Sabtu.

Berkongsi intipati perbualan di kediaman Perdana Menteri itu, Dr Mohd Asri berkata, setiap calon menteri yang akan menganggotai Kabinet Muhyiddin juga diminta memberikan maklumat yang sahih mengenai sijil akademik mereka.

"Apa yang menggembirakan saya, beliau (Muhyiddin) memaklumkan kepada saya Insya-Allah senarai anggota Kabinet beliau nanti mereka yang melepasi tapisan SPRM dan PDRM.

"Saya juga dimaklumkan oleh mereka yang terlibat menguruskan semalam bahawa beliau meminta setiap yang akan menganggotai Kabinet beliau tidak membuat dakwaan palsu tentang sijil yang dimiliki.

"Setiap orang hendaklah menyatakan sijil pendidikan sebenar yang dia perolehi," tulis Dr Mohd Asri di halaman Facebook peribadinya pada Ahad.

Dalam pertemuan itu juga, Dr Mohd Asri menyatakan sentimen rakyat pada ketika ini yang inginkan kerajaan yang dianggotai oleh menteri yang jujur dan cekap.

Tidak ketinggalan, rakyat juga, kata Mufti Perlis itu, mahu negara ditadbir oleh pihak-pihak yang tidak memusuhi perkara-perkara asas dalam negara terutama Islam dan tidak membuat kenyataan-kenyataan yang memperbodohkan rakyat.

"Saya memberitahu beliau, saya percaya jika anggota kabinet terdiri dari kalangan mereka yang bersih dari korupsi dan berkualiti, Insya-Allah itu adalah hujah yang kuat untuk beliau.

"Bertawakkallah kepada Allah dan sentiasa memohon pertolongan daripadaNya," tulis Dr Mohd Asri lagi.


Rakyat juga, kata Dr Mohd Asri, memerlukan kehidupan yang aman, ekonomi yang baik dan persekitaran yang selesa untuk meneruskan kehidupan.

Dalam masa sama, beliau secara terbuka menyatakan sokongannya kepada kerajaan yang baik demi kepentingan agama dan negara.

"Saya bersama bersama rakyat marhaen yang lain, bersedia menyokong, mendokong dan membantu.

"Demikian, saya juga bersedia untuk mengkritik kerajaan jika hal sebaliknya berlaku," kata Dr Mohd Asri lagi.

Muhyiddin, 72, dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan negara pada 29 Februari lalu dan mengangkat sumpah sehari kemudian di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dilantik sebagai Perdana Menteri selepas tercetus krisis politik susulan Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Selepas seminggu menerajui negara, rakyat memberi tumpuan dan ternanti-nanti senarai jemaah menteri yang akan dilantik oleh Muhyiddin.

Difahamkan, Perdana Menteri akan mengumumkan senarai menteri Kabinet beliau pada minggu hadapan.

BACA: Zahid cadangkan dirinya tidak dilantik sertai Kabinet

BACA: GPS bakal sertai Kabinet