Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kecewa dengan tindakan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disifatkan sebagai ‘ayah’ yang mengkhianati asas penubuhan parti apabila bekerjasama dengan kalangan kleptokrat.

Menurut bekas Menteri Belia dan Sukan itu, Muhyiddin telah menubuhkan “kerajaan pintu belakang” tanpa pengetahuan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Beliau seperti ayah saya sendiri dan merupakan antara sebab kenapa saya menyertai politik,” tegas Syed Saddiq.

“Beliau salah seorang yang lantang bersuara menentang kleptokrat global. Beliau dipecat oleh partinya kerana membantah golongan kleptokrat itu.”

Syed Saddiq meluahkan perkara itu ketika ditemu bual pengacara Mehdi Hasan dalam rancangan UpFront di saluran berita Al Jazeera pada Sabtu.

Muhyiddin dipecat daripada jawatannya sebagai timbalan perdana menteri oleh bekas perdana menteri Najib Razak pada 2015 atas kesalahan pelanggaran disiplin.

Syed Saddiq turut menceritakan tentang ancaman yang dihadapinya ketika menentang kleptokrat serta ganjaran wang yang ditawarkan jika menyertai kelompok itu.

“Apa yang menyedihkan saya hari ini adalah pemimpin saya dan 'ayah' saya sendiri telah membuka pintu kerajaan dan demokrasi Malaysia kepada golongan kleptokrat sama yang mengancam saya dan keluarga; kleptokrat sama yang mengancam beliau dan keluarganya.”

Namun, persoalan yang ditimbulkan oleh pengacara Mehdi ketika itu adalah mengenai pendirian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung politik berasaskan kaum.

“Bukankah masalahnya berpunca kerana pakatan ‘tidak berdemokratik’ ini dipimpin oleh seorang Perdana Menteri yang pernah kata beliau seorang Melayu dahulu sebelum rakyat Malaysia pada 2010?

“Namun, beliau antara pemimpin tertinggi dalam parti kamu sendiri, bukannya pembangkang,” tanya Mehdi kepada Syed Saddiq.

Jelas Syed berhubung politik perkauman, “Saya sentiasa menjadi rakyat Malaysia dahulu. Namun, saya rasa ia tidak salah untuk berasa bangga dengan kaum saya.

“Ia sangat penting bagi saya untuk memastikan agar mereka yang tidak berkemampuan dan datang daripada keluarga yang miskin berhak mendapat bantuan - malangnya, kebanyakan mereka merupakan kaum Melayu.

Katanya, perkara itu serta pendirian untuk membantah golongan kleptokrat menjadi asas di sebalik sokongan yang diberikan kepada ‘ayahnya’, Muhyiddin.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggambarkan Muhyiddin sebagai seorang “pengkhianat” yang mementingkan politik berbanding prinsip.

BACA: Muhyiddin pentingkan politik, bukan prinsip - Tun Mahathir

Ia susulan kemelut politik yang menyaksikan Dr Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri serta Pengerusi Bersatu pada 25 Februari lalu.