Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan tiada pimpinan Pemuda yang berhasrat untuk keluar daripada Barisan Nasional (BN) susulan laporan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) berhubung 1MDB.

Beliau yakin semua pimpinan Pemuda memahami proses kehakiman berkenaan.

"Tidak ada setakat dalam pimpinan Pemuda Negeri, Bahagian yang telah menyatakan keinginan untuk keluar parti susulan isu ini disebabkan semua memahami bahawa proses kehakiman ini perlulah diadakan supaya kita dapat tengok kesahihan tuduhan tersebut kerana tidak ada apa yang dibuktikan setakat ini," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pergerakan Pemuda UMNO di Menara Dato' Onn, PWTC di sini hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menganggap laporan kononnya pemimpin kanan UMNO dan menteri Kabinet akan berpaling tadah berikutan saman sivil oleh DOJ ke atas aset berkaitan 1MDB sebagai karut dan tidak masuk akal.

Laporan itu memetik bekas editor politik The New Straits Times, Firdaus Abdullah sebagai meramalkan bahawa beberapa pemimpin tertinggi UMNO akan beralih kepada pembangkang.

Menurut Khairy Jamaluddin, keputusan siasatan DOJ adalah berdasarkan kes sivil dan perlu dibawa ke mahkamah.

Susulan itu, tegasnya, dakwaan kebenaran laporan terhadap 1MDB belum dapat dibuktikan.

"Kita harap supaya proses mahkamah ini dapat dijalankan supaya kita dapat kepastian berkenaan tuduhan yang dibuat, tidak ada apa-apa yang telah dibuktikan buat masa ini. Buat masa ini hanya tuduhan dibuat hasil siasatan. Perkara ini perlu dibawa ke mahkamah," tegas beliau.

Pemuda UMNO juga bersetuju dengan pendirian perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar mereka yang dikenal pasti dalam laporan DOJ berkenaan perlu bertanggungjawab membela diri.

"Mereka mesti bertanggungjawab agar tidak ada lagi spekulasi selepas berlaku perbicaraan di mahkamah," tambah Khairy Jamaluddin.

Beliau pada masa sama menggesa agensi penguatkuasaan tempatan membuat siasatan sekiranya berlaku penyelewengan yang dikaitkan dengan jenayah.

"Ini akan dapat dibuat sekiranya maklumat itu dapat diberikan kepada agensi kita dan itu dapat dibuat jika didapati dalam kes sivil itu bahawa aset-aset yang dimaksudkan dalam laporan tersebut diperolehi dengan cara yang tidak sah," tegasnya.

Justeru, beliau berharap semua pihak tidak membuat sebarang andaian sebelum dakwaan terhadap 1MDB.