Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan tidak berlaku penyalahgunaan kuasa berhubung isu pemindahan wang RM10 juta melalui pengurup wang pada tahun 2008 yang membabitkannya.

Menurut Mohamad yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, beliau telah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan terbukti tidak bersalah.

“Tiada penyalahgunaan kuasa atau ada saya membuat sesuatu yang tak baik. Tujuan saya membeli apartmen di London.

“Terpulang kepada pihak berkuasa, kepada SPRM untuk buat siasatan,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media di Bilik Gerakan Utama BN di Rantau, Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Mohamad menjangkakan berlaku banyak provokasi memasuki minggu kedua kempen PRK DUN Rantau.

“Saya harap orang ramai dapat bezakan mana yang betul atau tidak. Mereka sudah mula membunuh karakter saya.

“Kepada mereka yang kata kalau saya ada salah laku semasa menjadi Menteri Besar, buatlah laporan polis pada pihak berkuasa,” katanya lagi.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Zulkefly Mohamad Omar membangkitkan isu pemindahan wang RM10 juta melalui pengurup wang pada tahun 2008 yang didakwa melanggar undang-undang perbankan.

Zulkefly dalam ceramahnya malam tadi turut mempersoalkan tiada tindakan yang diambil oleh SPRM ke atas bekas menteri besar itu.

BACA: 'Siapa kata Mohamad orang bersih?' - Zulkefly minta SPRM siasat isu RM10 juta

Pejabat Peguam Negara di bawah pemerintahan BN tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Mohamad, sebaliknya bertindak terhadap pengurup wang berkenaan.