Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin sedia berunding jika Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mahu ‘merisik’ kerusi disandangnya.

Jelasnya, perkara itu boleh dibawa berbincang.

"Boleh, tapi kita kena bincang dulu,” katanya kepada media semasa berkempen bersama calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Kampung Sawah di sini hari ini.

BACA: PRK DUN Rantau bukan tugas mudah - Mohamad Hasan

Pada masa ini, katanya, apa yang penting ialah BN mesti menang di Rantau.

“Kita menangkan Rantau dulu dan fokus untuk menangkan beliau (Mohamad) dulu,” ujarnya lagi.

BACA: Kemenangan Streram di Rantau tidak mustahil - Azmin Ali

Mohamad pada satu majlis ramah mesra di Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Kampung Sendayan pada Khamis memberi bayangan bahawa beliau akan bertanding kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-15 akan datang.

PRK DUN Rantau pada 13 April ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan Dr S. Streram, Mohamad dan dua calon bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.