Anak bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Mohamed Omar, 53 tahun yang bertanding atas tiket PKR di Dewan Undangan Negeri, DUN Chempaka menyatakan hasrat untuk meneruskan legasi ayahnya di negeri Serambi Mekah itu.

Katanya beliau mengambil masa lama untuk menerima tawaran dari Pakatan Harapan (PH) namun setelah memikirkan dan mengimbau perjuangan arwah ayahnya yang sewaktu kecil sering membawa beliau ke DUN Chempaka, maka beliau pagi tadi menyerahkan borang pencalonannya untuk bertanding atas tiket PKR.

Ketika ditanya sama ada tindakannya mendapat restu ibu, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak yang sebelum ini dilaporkan melarangnya, Nik Omar menjawab secara ringkas “Insyaallah’.

BACA: Nik Omar tanding tiket PKR beri tamparan pada Pas

BACA: Anak Allahyarham Nik Aziz buat kejutan di DUN Chempaka

“Situasi ini sama macam kita nak ke Mekah, ada yang naik kapal terbang, naik kapal laut. yang penting semua nak cari keredhaan Allah. "Fastabiqul Khairat" iaitu berlumba-lumba mencari kebaikan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

“Ada yang bertanya mengenai hubungan keluarga saya. Saya ingin nyatakan hubungan kekeluargaan itu perlu dijaga. Selisih pandangan itu perkara biasa. Saya sendiri mendoakan kejayaan buat adinda saya Ustaz Nik Abduh. Saya juga percaya beliau (ibu) akan mendoakan kejayaan buat saya di Dun Chempaka,” katanya dengan nada tenang.


Nik Omar menegaskan, beliau ahli Pas seumur hidup dan tidak menyertai Parti Amanah Negara sebaliknya tindakan beliau bertanding hari ini atas tiket PKR bagi meneruskan perjuangan ayahnya serta meraikan sistem demokrasi yang ada di negara ini.

Namun sekiranya beliau di pecat, beliau menghormati keputusan pimpinan parti Islam itu.

Katanya hasratnya ialah untuk meneruskan legasi ayahnnya dan menyumbang untuk rakyat Kelantan dalam usaha meningkatkan martabat Islam serta meneruskan perjuangan agama.

Sementara itu Pas tidak terkesan dengan tindakan Nik Omar itu yang bertanding mewakili Pakatan Harapan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Nik Omar merupakan ahli Pas biasa dan keahliannya sebagai ahli pas terlucut serta merta atas tindakannya itu.

“Kita tidak terkejut sebenarnya, Nik Omar ahli biasa Pas sedangkan bekas Timbalan Presiden Pas pun bertanding parti lain kita tak terkejut tambahan pula nama dia sudah lama dikaitkan sebagai parti tersebut,” katanya di sini.