Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berikrar akan berkhidmat sehingga ke akhir hayatnya.

Perkara itu dinyatakan menerusi akaun Twitter rasminya, yang antara lain menyatakan rasa syukur dengan perkhidmatan Tun Mahathir.

Terdahulu, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR turut menyampaikan rasa terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana meyakinkan beliau bahawa Tun Mahathir merupakan pilihan terbaik untuk memimpin negara ini.


Pada penghujung Disember tahun lalu, ketika Mohamed Azmin mengerjakan ibadah umrah, beliau turut mendoakan kesihatan yang berpanjangan buat Tun Mahathir.

“Saya juga mendoakan di hadapan Kaabah semoga Allah SWT menganugerahkan YAB Tun (Tun Dr Mahathir) dengan kesihatan yang terbaik dan kekuatan untuk memimpin umat dan negara Malaysia," tulis beliau dalam kemas kini Twitternya.

Sewaktu kempen PRK Cameron Highlands baru-baru ini yang menyaksikan kerusi itu dipertahankan Barisan Nasional menerusi calon Ramli Mohd Noor, Ahli Parlimen Gombak itu antara lain menafikan sebarang perbuatan sabotaj dalam Pakatan Harapan.

Beliau malah mengulangi bahawa Pakatan Harapan merupakan sebuah keluarga besar.

"Itu uniknya Pakatan Harapan, kita turun sebagai Pakatan Harapan, bilik gerakan kita, bilik gerakan Pakatan Harapan. Kita tidak ada bilik gerakan Bersatu, bilik gerakan Keadilan, bilik gerakan Amanah.. tidak tak ada. Kita sebagai satu keluarga besar," katanya kepada pemberita.

BACA: Tiada sabotaj dalam PH, tidak perlu siasatan - Azmin