Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai akan berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendapat penjelasan lanjut mengenai usul Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016.

Katnya, usul RUU pindaan yang dibentang Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen pada Khamis itu mengundang kebimbangan, khususnya di kalangan komuniti Cina yang melihat ia sebagai hudud.

"Saya ingin tegaskan bahawa ada 'ya' dan 'tidak' kepada apa yang dinyatakan Perdana Menteri bahawa usul ini bukan hudud.

"Tetapi apa yang dibentangkan Abdul Hadi itu merangkumi skop yang begitu luas dan memberi pandangan, bagi kita (MCA), ia (RUU) adalah hudud," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Jayadiri Malaysia (Kojadi) di Wisma MCA hari ini.

Sekiranya usul tersebut diluluskan, Liow khuatir ia akan membolehkan kerajaan-kerajaan negeri mempunyai sistem perundangan yang sama dengan Mahkamah Persekutuan.

Ini seterusnya, katanya, akan menyebabkan berlaku kecelaruan dalam sistem perundangan negara.

Justeru, beliau akan tetap berusaha sedaya upaya memastikan usul itu ditolak, dan mengajak seluruh Ahli Parlimen untuk bersamanya kerana ia jelas bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.

"Kami tidak panik, cuma serius dalam perkara ini.

"Sejak negara kita merdeka dan membentuk kerajaan, kita menggunakan konsensus daripada semua parti dalam komponen Barisan Nasional (BN) dalam pindaan apa-apa akta, dan saya harap ia terus dipakai," ujarnya.

Pada Sabtu, Liow menyatakan pendiriannya dan sedia berundur daripada kabinet sekiranya usul pindaan RUU Mahkamah Syariah itu diluluskan.

Sebelum itu pada Jumaat, Liow menegaskan pendirian MCA yang menentang, mengatakan pelaksanaan hudud bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan menjejaskan hubungan antara-etnik.

Sementara itu, beliau menyangkal dakwaan bahawa pendirian tegasnya itu boleh menyebabkan BN hilang sokongan pengundi Cina dalam dua Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Besar dan Kuala Kangsar bulan depan.

Malah katanya, komuniti Cina akan berdiri teguh di belakang MCA kerana pendirian parti yang membawa suara mereka secara jelas, iaitu menolak pelaksanaan hukum hudud di negara ini.