Tutup

Berita  | Sukan

Ayuh rakyat Malaysia, undi Safawi Rasid untuk anugerah gol terbaik AFC!

Ayuh rakyat Malaysia, undi Safawi Rasid untuk anugerah gol terbaik AFC!
Pemain sayap itu menjaringkan gol jarak jauh pada minit ke-60 perlawanan di Stadium Pusat Sukan Olimpik Jinan di Shandong, pada 9 April lalu.
KUALA LUMPUR: Bintang bola sepak Johor Darul Takzim (JDT), Muhammad Safawi Rasid tidak menyangka gol jaringannya kini menduduki tangga kedua selepas dicalonkan bagi anugerah gol terbaik Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2019.

Pemain berusia 22 tahun itu berkata, semua calon yang tersenarai memiliki kehebatan tersendiri dan memberikan saingan sengit.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mengundi gol saya sebab saya rasa gol itu sangat penting sebab kita di pentas ACL (AFC Champions League), sebuah pentas yang besar dalam hidup saya. Jadi, jika menang saya amat menghargai (sokongan) rakyat Malaysia.

“Saya tidak jangka sebab saya rasa pemain dari Arab Saudi mungkin mendapat bantuan daripada penyokong Indonesia. Tetapi dengan semangat dan sokongan rakyat Malaysia, Alhamdulillah sekarang ini saya menduduki tangga kedua.
“Perkara ini (kedudukan) dan pencalonan sudah buat saya gembira,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

BACA: Gol kedua Safawi Rasid dipersoal di Dewan Rakyat 

BACA: Ibu solat sunat setiap malam mohon kejayaan Safawi 

Bagaimanapun, Muhammad Safawi yang juga pemain skuad kebangsaan tidak mahu meletak harapan tinggi, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada rezeki dan sokongan peminat bola sepak tanah air.

“Saya secara jujur mengharapkan rezeki dan tawakal. Usaha daripada rakyat Malaysia, saya ucapkan terima kasih dan mungkin usaha (undi itu) boleh membuatkan saya menang pada pertandingan ini.

“Jadi saya sangat gembira dan teruja dengan anugerah gol tu,” kata Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2019 itu. 

Undian terkini setakat jam 12 tengah hari, pada Ahad.

Setakat pukul 12 tengah hari ini, Muhammad Safawi menduduki tangga kedua dengan undian sebanyak 688,697 atau 48 peratus, iaitu di belakang pemain dari Kelab Persepolis, Shojae Khalilzadeh yang mendahului dengan 50 peratus. 

Pihak Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menyenaraikan jaringan Muhammad Safawi sebagai 10 gol terbaik selepas pemain itu berjaya meledak gawang Shandong Luneng dalam saingan peringkat kumpulan Liga AFC 2019.

Pemain sayap itu menjaringkan gol jarak jauh pada minit ke-60 perlawanan di Stadium Pusat Sukan Olimpik Jinan di Shandong, pada 9 April lalu.

Selain Muhammad Safawi, turut tersenarai adalah Islom Tukhtakhujaev dari PFC Lokomotiv, Gonzalo Viera (Al Rayyan), Sergio Antonio (Kashima Antlers), Khalilzadeh (Persepolis), Khojiakbar Alijonov (Pakhtakor Tashkent FK), Kim Dae-won dari Daegu FC, Romario Ricardo Silva (Al Ittihad), Khalid Muneer (Al Duhail) dan Fabrício dos Santos dari Urawa Reds.

Anda boleh mengundi jaringan Muhammad Safawi bagi membolehkan beliau memenangi anugerah tersebut di sini.