DALAM Liga Juara-Juara Eropah (UCL), penyerang Sevilla, Wissam Ben Yedder mempamerkan persembahan yang lebih baik daripada Romelu Lukaku dari Manchester United.

Ben Yedder masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-72 untuk menggantikan Luis Muriel, menjadi duri dalam daging Red Devils apabila menjaringkan dua gol dalam tempoh empat minit, (minit ke-74 & 78) untuk melenyapkan harapan United mara ke pusingan seterusnya.

Dengan dua gol yang dijaringkan di tempat lawan, United perlu menang dengan jaringan tiga gol dalam perlawanan berbaki sekitar 12 minit sahaja.

Jadi siapa Ben Yedder ini?

Ben Yedder dilahirkan di Sarcelles, kawasan kejiranan di utara pinggir bandar Paris dan sejak kecil menyimpan impian untuk menjadi pemain bola sepak profesional.

Dia merupakan rakan kepada pemain Leicester City, Riyad Mahrez yang turut dilahirkan di bandar yang sama.

Sebelum menjadi pemain bola sepak profesional, Ben Yedder kerap bermain bola di jalanan dan sebelum memilih untuk menjadi seorang pemain futsal profesional.

Selepas berjaya meningkatkan tahap permainannya dan menjadi lebih berbisa di depan gol, Ben Yedder berhijrah ke bola sepak, pada masa sama mewakili Perancis dalam kejohanan futsal.

Kerjayanya sebagai pemain bola sepak bermula di UJA Alfortville yang bermain dalam peringkat keempat liga bola sepak Perancis pada 2008.

Ben Yedder kemudian berhijrah ke kelab Ligue 1 Perancis, Toulouse pada 2010 dan sepanjang enam tahun di kelab itu, dia berjaya menjaringkan 63 gol dalam 156 perlawanan.

Dia kemudian berhijrah ke Sepanyol dengan menyertai kelab Sevilla pada 2016 dan setakat ini sudah menjaringkan 6 gol dalam 17 perlawanan musim ini.

Ia bukan satu catatan yang baik dan Sevilla juga berada di tangga kelima liga Sepanyol, 27 mata dibelakang pendahulu, Barcelona.

Bagaimanapun, prestasi Ben Yedder amat cemerlang di UCL berbanding di La Liga.

Selepas tujuh perlawanan, Ben Yedder sudah menjaringkan lapan gol berbanding Lukaku yang hanya menjaringkan lima gol dalam perlawanan.

Statistik hantaran yang berjaya dilengkapkan dan hantaran penting juga menunjukkan Ben Yedder lebih cemerlang berbanding Lukaku sebagai seorang penyerang.

Hantaran yang berjaya dilengkapkan setiap 90 minit perlawanan adalah 22.54 bagi Ben Yedder berbanding 16.39 Lukaku.

Hantaran penting bagi Ben Yedder turut tinggi iaitu 1.97 dan berbanding 1.66 yang dicatat Lukaku.

Saksikan sorotan perlawanan Manchester United menentang Sevilla awal pagi tadi di Youtube Stadium Astro.