BRAZIL sedikit sebanyak sudah menebus maruah kekalahan memalukan kepada Jerman pada Piala Dunia 2014 selepas mengalahkan skuad bimbingan Joachim Low itu 1-0 di Berlin dalam aksi persahabatan awal pagi tadi.

Pemain Manchester City, Gabriel Jesus menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-37, untuk Jerman mengalami kekalahan pertama selepas 23 perlawanan.

Walaupun ia sekadar perlawanan persahabatan, ia merupakan perlawanan yang amat penting buat skuad Brazil yang mahu memulihkan imej mereka yang tercalar apabila dibelasah 7-1 di halaman sendiri pada separuh akhir Piala Dunia empat tahun lalu.

Kali terakhir Jerman mengalami kekalahan ialah pada separuh akhir Euro 2016 kepada Perancis.

Low bagaimanapun tidak menurunkan barisan terkuat menentang Brazil sementara hanya bintang PSG, Neymar tidak beraksi akibat kecederaan untuk Brazil.

Sebelum perlawanan ini, jurulatih Brazil, Tite yang dilantik pada 2016 menyatakan bahawa kekalahan 7-1 kepada Jerman masih menghantui skuad samba itu.

Walaupun berjaya menewaskan Jerman pada final Olimpik 2016, ia merupakan pertemuan pertama skuad senior kedua-dua pasukan sejak final 2014 di Brazil.

Dalam perlawanan awal pagi tadi, Jerman yang menguasai permainan mempunyai satu cubaan tepat pada minit ke-92, namun cubaan Julian Draxler diselamatkan penjaga gol Brazil, Alisson.