PEMAIN boling tenpin negara, Rafiq Ismail, bukan sahaja mencipta keterujaan dengan menambah pingat emas ketiga kontinjen Malaysia dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang, malah turut melakar sejarah menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi acara masters lelaki di pentas ini sejak 1978.

Rafiq sebelum itu mempamerkan kebangkitan mendadak dalam saingan masters setelah berada di tangga keenam dalam awal blok kedua untuk menamatkan saingan di kedudukan pertama dengan melakar 4,005 jatuhan pin untuk terus layak ke penentuan pingat emas dalam saingan stepladder.

Lawannya adalah peserta Korea Selantan, Park Joo Woo, yang terlebih dahulu menyingkirkan rakan sepasukan, Koo Seonghoi, dalam aksi play-off stepladder.

Pertembungan final cukup mendebarkan apabila kedua-dua pemain membuat balingan sempurna untuk mendapatkan strike.

BACA: Sukan Asia 2018: Tamparan kepada skuad terjun

BACA: 'Kamu tetap pemenang di mata dan hati kami semua brother Al Jufferi' - Syed Saddiq

Daripada ketinggalan 20 jatuhan pin, Rafiq bangkit dalam game kedua untuk merapatkan jurang dan pada masa yang sama menggunakan kesempatan daripada kesilapan lawan untuk mendahului dalam frame kelapan.

Emas yang diidamkan sudah berada dalam genggaman apabila Rafiq melakukan balingan terakhir dengan membuat 534 jatuhan pin manakala Joo Woo sekadar melakukan 511 jatuhan pin.

"Sememangnya tekanan hebat buat saya, lebih-lebih lagi ketika pemain Korea itu mendahului permainan.

"Dengan sistem pemarkahan yang baru ini, 20 pin adalah banyak.

"Oleh itu, dalam frame terakhir, saya memberitahu diri sendiri, 'bola itu bulat, apa-apa pun boleh terjadi'.

"Selagi boleh, saya berjuang sampai habis," kata Rafiq yang terharu dengan sokongan padu diterimanya sepanjang aksi itu sehingga menitiskan air mata ketika majlis penyampaian pingat.

Sementara itu, jurulatih negara, Holloway Cheah, menyifatkan Rafiq sebagai permata dalam pembikinan buat skuad boling negara kerana mampu menyerap tekanan ketika beraksi dalam perlawanan akhir yang cukup sengit.

"Saya tahu dia mampu melakukannya. Begitupun, saya masih perlu memberinya panduan mengenai di mana dan cara lontarannya selain memastikan dia terus kekal fokus sehingga balingan terakhir.

"Kita tidak tahu keputusan muktamad sehinggalah balingan terakhir.

"Dia adalah atlet istimewa. Dia mengharungi tekanan hebat dan mengawal tekanan itu sehingga akhir saingan," kata Holloway.

Ini merupakan emas kedua skuad boling negara selepas kejayaan trio wanita negara tempoh hari selain dua perak.