Kehebatan jaguh lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail dan atlet lompat bergalah, Mohd Iskandar Alwi sukar dicabar pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2018 selepas masing-masing cemerlang merangkul pingat emas di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Kejohanan tiga hari itu menyaksikan Muhammad Hakimi, yang mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM), mencatat lompatan sejauh 16.01 meter (m) untuk menewaskan Khaled Alsubaie dari Kuwait (15.70m) yang meraih perak dan gangsa milik atlet Perak, Lau Jit Sung dengan catatan 14.78m.

Bagaimanapun, bagi Muhammad Hakim yang juga merupakan atlet Program Podium, kejohanan ini merupakan pentas eskperimen teknik lompatan sebagai persediaan menjelang Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang Ogos depan.

"Ini adalah kejohanan pertama selepas Sukan Komanwel 2018 bulan lalu dan saya gembira beraksi di sini kerana ia merupakan pentas untuk saya mencuba beberapa teknik yang berbeza.

"Saya gembira kerana ia memberikan keputusan yang positif dan bagi saya, apa yang saya ingin cuba lakukan di sini tercapai," katanya kepada pemberita selepas acara itu.

Sementara itu, Mohd Iskandar yang memperbaharui rekod lompat bergalah kebangsaan dengan catatan 5.31m pada Mac lepas, meraih emas selepas merekodkan ketinggian 5.00m.

Pingat perak menjadi milik atlet Kuwait, Al Mershad Fahad yang mencatat 4.90m manakala Muhammad Afiq Ahmad Alham dari Johor membawa pulang gangsa dengan catatan 4.80m.

Dalam pada itu, pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016, Muhammad Ziyad Zolkefli menamatkan acara lontar peluru dengan merangkul gangsa selepas membuat lontaran sejauh 15.68m.

Pingat emas acara tersebut dimenangi atlet Jordan, Musab Ibrahim Mohammad Momani dengan lontaran sejauh 17.07m manakala pingat perak menjadi milik rakan senegara, Ebrahim Alfadhli (17.06m). - BERNAMA