PERTAHANAN West Ham, Angelo Ogbonna muncul wira pada saat-saat akhir masa tambahan untuk membenam Liverpool menerusi kemenangan 2-1 dalam perlawanan replay pusingan keempat Piala FA di Upton Park.

Tandukan bekas pertahanan Juventus itu pada minit ke-121 menyempurnakan kemenangan ke atas barisan muda Liverpool nyata tumpul biarpun menguasai perlawanan sebelum gol penentu itu.

Michail Antonio mencipta pendahuluan buat The Hammers ketika separuh masa pertama namun bersambung babak kedua, Liverpool kembali bangkit menerusi sepakan percuma daripada perancang utama, Philippe Coutinho. West Ham tidak pernah menewaskan Liverpool dalam Piala FA tetapi mereka sudah menewaskan lawan itu sebanyak dua kali dalam saingan liga musim ini dengan seri 0-0 pada perlawanan pertama Piala FA.

Tahun ini merupakan tahun terakhir West Ham berpangkalan di Upton Park, semestinya anak buah Slaven Bilic mahu cipta sejarah sebelum beraksi di Olympic Stadium bermula musim depan.

West Ham bakal bertemu Blackburn Rovers dalam pusingan kelima.