KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) berdiri teguh di belakang Majlis Sukan Negara (MSN) bagi mempertahankan hak atlet berkenaan isu pakaian dalam sukan gimnastik wanita dan gimrama susulan tindakan Kerajaan Negeri Terengganu menarik diri daripada menyertai sebarang acara sukan berkenaan.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Terengganu menyatakan kesediaan untuk menarik diri daripada dua acara sukan, iaitu gimnastik wanita dan gimrama kerana tuntutan yang perlu dipatuhi atlet dalam sukan berkenaan bercanggah dengan garis panduan yang ditetapkan kerajaan negeri itu.

Bagaimanapun, isu pakaian, khususnya bagi sukan-sukan yang melibatkan pendedahan aurat, bukan sahaja pernah dibincangkan beberapa kali sebelum ini, malah turut pernah dibawa hingga ke peringkat Parlimen.

"Kami mahu memastikan sukan ini betul-betul 'inclusive'," kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

"Bagi mereka yang memilih untuk memakai hijab, mereka perlu dibela dan diberikan tempat. Pada masa sama, (juga) buat mereka yang memilih jalan selainnya.

"Pendirian saya adalah untuk mempertahankan atlet. Kami mahu pastikan bahawa tidak kira apapun latar belakang mereka, pilihan mereka, KBS dan MSN akan tetap menjadi rumah mereka."

BACA: Terengganu tarik diri sukan gimnastik, gimrama wanita

Menurut MSN, individu atau atlet mempunyai pilihan untuk tidak terlibat dalam dalam sukan walau setinggi mana minat dan bakat mereka sekiranya berasakan pakaian yang dipakai menyalahi syariah atau berkompromi dan memakai pakaian yang mengikut syariah jika tiada halangan daripada segi garis panduan.

KBS akan mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Negeri Terengganu bagi menemui titik persefahaman dan akan sentiasa menyebelahi dan berpihak kepada atlet negara.

BACA: 'Pakaian patuh syariah, kerajaan tak paksa atlet tapi...'

"Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, saya pernah bersua muka dengan exco belia dan sukan Terengganu. Dan saya dimaklumkan sebelum ini, ia lebih kepada nasihat.

"Saya turut dimaklumkan bahawa mereka belum memuktamadkan proses tersebut. Ia hanya bengkel dalam kalangan mereka dan belum dimuktamadkan lagi.

"Saya akan terus berdialog dengan Kerajaan Negeri (Terengganu) untuk mencari titik pertemuan supaya isu ini dapat diselesaikan," tambahnya.