Jangan ‘call’ saya untuk tiga hari.

Ini adalah pesanan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei kepada pihak media apabila ditanya apakah benda pertama yang akan dilakukannya selepas mengetahui keputusan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang telah menggantungnya selama lapan bulan ekoran penggunaan dadah terlarang.

“Tiga hari jangan ‘call’ saya boleh tak? Tiga hari biar saya ‘relax’ dulu,” katanya memyebabkan semua pihak media yang hadir di sidang media tersebut ketawa.

Chong Wei juga berkata beliau amat lega dengan keputusan itu.

“Sudah tentu saya berasa cukup lega. Saya menerima keputusan ini.

"Saya akan menilai semula dan mungkin kembali kuat secara mental untuk menghadapi kejohanan-kejohanan akan datang," kata Chong Wei pada satu sidang media, di sini, hari ini.

Apabila ditanya apakah pengajaran yang beliau dapat daripada isu doping ini, beliau berkata beliau perlu lebih berhati-hati.

“Saya rasa mungkin (hendak makan) suplemen, kena ‘check’ dulu la. Tapi saya makan benda ini sejak umur saya 13 tahun lagi, tiada apa-apa.

“Mungkin ini masa tidak baik untuk saya,” katanya.

Chong Wei, 33, digantung oleh BWF selepas didapati positif menggunakan bahan terlarang dexamethasone ketika beraksi pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, pada Ogos 2014.

Pemenang pingat perak pada Sukan Olimpik Beijing 2008 dan London 2012 itu digantung oleh BWF pada 11 Nov, 2014 sementara menunggu kesnya didengar di Amsterdam pada 11 April.

Berkuat kuasa 1 Jan tahun ini, BWF meminda peraturan dopingnya dan mereka yang disahkan mengambil bahan terlarang boleh digantung sehingga empat tahun.