SUSULAN insiden pergaduhan yang berlaku di kejohanan UFC 229, Oktober tahun lalu, dua jaguh MMA, Khabib Nurmagomedov dan Conor McGregor telah didenda dan digantung pertarungan oleh Suruhanjaya Atlet Negeri Nevada (NSAC).

Khabib, 30 tahun, didenda sebanyak AS$500,000 (RM2,053,953) dan digantung selama sembilan bulan, manakala McGregor pula didenda AS$50,000 (RM205,355) dan digantung enam bulan.

Menurut NSAC, tarikh penggantungan Khabib bermula pada 6 Oktober 2018, bermakna atlet dari Rusia itu dibolehkan untuk kembali bertarung pada 6 Julai ini.

Namun, jelas NSAC, jika Khabib bersetuju untuk menyertai kempen anti-buli, tempoh penggantungan itu akan dikurangkan kepada enam bulan.

Bagi McGregor pula, atlet berusia 30 tahun dari Ireland itu dibolehkan untuk kembali bertarung pada 6 April ini selepas melalui sesi penggantungannya yang bermula pada tarikh sama penggantungan Khabib.

Bagaimanapun, memetik laporan ESPN, Khabib memaklumkan dia tidak lagi berminat untuk beraksi di Nevada.

Pengurusnya, Ali Abdelaziz berkata, Khabib kini lebih berminat untuk bertarung di Madison Square Garden, New York.

“Dia (Khabib) sudah selesai dengan Vegas, kerana memberi hukuman terlalu berat kepada saudara-saudaranya.

“Dia sukakan MSG (Madison Square Garden). Ramai peminatnya di sana, dan New York sentiasa melayannya dengan baik. Dia rindu beraksi di New York,” katanya kepada ESPN.

Ali turut memberitahu, Khabib menyasarkan untuk kembali ke gelanggang UFC, November ini.

Selain dua petinju tersebut, sepupu Khabib, Abubakar Nurmagomedov dan rakan sepasukannya Zubaira Tukhugov turut didenda AS$25,000 (RM102,668) dan digantung selama setahun.

Rakan sepasukan McGregor, Dillon Danis, dilaporkan turut menerima hukuman. Bagaimanapun kesnya akan dikendalikan nanti.

BACA: MMA: Khabib tundukkan McGregor, 'mengamuk' di UFC 229

BACA: MMA: Tempoh penggantungan Khabib, McGregor dilanjutkan

Insiden pergaduhan di UFC 229 tercetus apabila Khabib tiba-tiba naik angin dan membaling 'mouthpiece' ke arah cornerman McGregor.

Dia kemudiannya melompat keluar dari gelanggang dan menyerang orang dari pasukan McGregor.

Menurut Khabib, tindakan itu dilakukan selepas dia dihina berbulan-bulan oleh McGregor termasuk serangan bas di Brooklyn.

Khabib sebelum itu berjaya mempertahankan tali pinggang UFC lightweight miliknya selepas memaksa McGregor mengaku kalah pada pusingan keempat menerusi 'submission'.

Keputusan itu juga melebarkan rekod kemenangan Khabib kepada 27-0.