Empat wakil Persatuan Angkat Berat bagi negeri Perak, Pahang, Perlis dan Pulau Pinang merayu Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (Sukma) untuk tidak mengurangkan jumlah kategori sukan itu yang akan dipertandingkan di Johor tahun depan.

Menurut Pengurus Pasukan Angkat Berat Perak, Muhammad Amir Muhamad Nadzir, keputusan itu disifatkan sebagai langkah ke belakang dan tidak berpandukan kepada peraturan am Sukma.

"Saya difahamkan, alasan yang diberikan adalah memberi penghormatan kepada tuan rumah (Johor) dan ikut cadangan tuan rumah.

"Sekiranya kita ikut dalam peraturan tetap atau am Sukma, tiada pun menyatakan bahawa tuan rumah atau Jawatankuasa Khas Teknikal ada kuasa untuk menetapkan acara dan kategori.

"Jadi, kami dan beberapa negeri lain bantah sekeras-kerasnya," katanya pada satu sidang media yang turut dihadiri tiga lagi wakil Persatuan Angkat Berat negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Kata Muhammad Amir, negeri lain yang menyokong penambahan acara kategori itu ialah Sabah, Sarawak, Melaka, Kedah, Terengganu dan Wilayah Persekutuan.

Ujarnya lagi, pengurangan kategori itu turut berpunca dari isu skandal doping di kalangan atlet negeri semasa Sukma Perak 2018.

Susulan kejadian itu, Majlis Sukan Negara Malaysia dan Majlis Olimpik Malaysia (OCM) telah membuat keputusan untuk mengangguhkan sukan itu dalam Sukma ke-20 di Johor.

BACA: Sukma 2020: Angkat berat perlu dipertandingkan?

BACA: Ada sinar buat sukan angkat berat - Syed Saddiq

Muhammad Amir menerangkan, Jawatankuasa Tertinggi Sukma pada awalnya telah memutuskan acara itu dipertandingkan semula pada Sukma Johor akan datang.

"Namun, Pengerusi Jawatankusa Khas Teknikal dan Sekretariat Sukma Johor pada 17 Nov lalu membuat keputusan untuk mempertandingkan empat kategori lelaki dan wanita daripada 10 kategori semuanya.

"Peraturan am Sukma menyatakan semua jenis sukan akan dipertandingkan mengikut Peraturan Badan Sukan Antarabangsa yang berkenaan kecuali diperuntukkan berlainan dalam peraturan Sukma," katanya.

Tambahnya, sukan tersebut telah melahirkan ramai kelompok atlet bertaraf antarabangsa yang berjaya di Sukan Komanwel dan Sukan SEA seperti Amirul Hamizan, Faizal Baharom dan Zairi Zakaria.

BACA: PABM pastikan atlet tidak terpalit isu doping

BACA: Angkat berat berisiko digugurkan dari Sukma

Dalam pada itu, Exco Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee Chuan How berkata pihaknya akan membawa isu itu kepada Jawatankuasa Teknikal Tertinggi yang akan dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

"Saya sendiri nampak bagaimana atlet Perak tangan koyak, tercedera, dengan harapan boleh mewakili negeri di peringkat tertinggi dalam sukan kebangsaan.

"Ini bukan soal Pahang atau Perak hendak jadi juara keseluruhan, tetapi ini pasal sukan," katanya.

Terdahulu, keputusan yang dibuat Jawatankuasa Khas Teknikal Sukma ialah bagi kategori lelaki, hanya acara tidak melebihi 55kg, tidak melebihi 61kg, tidak melebihi 67kg dan tidak melebihi 73kg.

Bagi kategori wanita pula hanya acara tidak melebihi 76kg, tidak melebihi 81kg, tidak melebihi 87kg dan melebihi 87kg yang akan dipertandingkan.