Kegagalan kontinjen negara mencapai sasaran lapan pingat emas di Sukan Asia Ke-17 di sini bukan merupakan kegagalan mutlak, kata ketua kontinjen negara, Datuk Danyal Balagopal Abdullah.

Beliau berkata semua atlet telah menunjukkan kesungguhan masing-masing bagi memburu sasaran negara, namun mereka hanya kurang bernasib baik.

"Orang tidak nampak kesungguhan yang dipamerkan atlet negara bagi mengharumkan nama negara di pentas sukan dunia, sebaliknya hanya mereka yang berada di venue kejohanan yang tahu apa sebenarnya yang berlaku.

"Saya tidak menyalahkan atlet dalam perkara ini, sebaliknya berbangga dengan semangat tinggi yang ditunjukan mereka selama mengikuti kampen Sukan Asia," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) meletakkan sasaran lapan pingat emas, namun kontinjen negara hanya membawa pulang lima emas, 14 perak dan 14 gangsa.

Danyal melihat kecemerlangan yang ditunjukan atlet dalam sukan tertentu seperti karate (dua pingat emas), skuasy (dua pingat emas), pelayaran (satu pingat emas).

"Kita sepatutnya membawa pulang enam emas namun sayangnya, emas pertama menerusi acara wushu ditarik balik oleh penganjur menyebabkan Malaysia kehilangan satu emas," katanya.

Beliau merujuk kepada pingat emas pertama yang dimenangi Cheau Xuen, namun ditarik balik oleh Majlis Olimpik Asia (OCA) apabila atlet wanita berkenaan didapati positif ujian doping.

Katanya sukan seperti hoki dan bola sepak turut menunjukkan peningkatan walaupun gagal membawa pulang sebarang pingat.

"Corak pemainan luar biasa oleh skuad bola sepak negara, malah boleh dianggap sebagai persembahan terbaik mereka ketika menentang Arab Saudi pada aksi penutup peringkat kumpulan. Ia amat membanggakan saya, malah seluruh peminat bola sepak tempatan turut mengakui perkara yang sama apabila skuad Bawah 23 Tahun berjaya memberi saingan hebat biarpun tewas 0-3.

"Pasukan hoki kita pula menunjukan corak permainan berbeza daripada sebelum ini apabila mereka berjaya memberi tentangan hebat kepada Korea Selatan dalam aksi penentuan pingat gangsa biarpun tewas 2-3.

Malah ramai pasukan negara lain yang saya temui memuji corak permainan skuad hoki kita," katanya.

Namun Danyal melahirkan rasa kecewa terhadap prestasi skuad sepak takraw negara yang dilihat semakin 'hilang taring' setelah gagal menamatkan badi kekalahan kepada Thailand menerusi acara berpasukan lelaki dan regu lelaki.

"Kita sepatutnya mendominasi sukan tradisi masyarakat Melayu ini kerana Malaysia satu ketika dulu amat digeruni malah kitalah yang memperkenalkan sukan sepak takraw kepada dunia," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau kecewa terhadap sikap pengurus sepak takraw yang tidak bersama-sama pasukan atas faktor peribadi.

"Tanpa perlu saya sebutkan nama, sikap tidak bertanggungjawab pengurus pasukan sepak takraw menukar jadual penerbangan beberapa kali menyebabkan kad akreditasi dibatalkan penganjur sehingga menyusahkan pasukan," katanya.

Danyal berkata beliau merasa kasihan melihat jurulatih sepak takraw kebangsaan Jamaluddin Hasan terpaksa mengurus sendiri pasukannya.

"Saya harap selepas ini pihak persatuan dapat mengambil tindakan terhadap individu terbabit dan akan lebih berhati-hati dalam melantik pengurus pasukan," katanya.

Beliau berkata sekiranya mereka yang dilantik sebagai pengurus pasukan merasakan bahawa mereka tidak layak melakukan tugas tersebut, lebih baik diberikan kepada orang lain.

"Saya akan masukan perkara ini dalam laporan apabila tiba di Malaysia," katanya.

Sepanjang penyertaan di Sukan Asia, kontinjen Malaysia meraih empat pingat emas di Hiroshima, Jepun (1994), lima emas di Bangkok, Thailand (1998), enam emas di Busan, Korea Selatan (2002), lapan emas di Doha, Qatar (2006) dan sembilan emas di Guangzhou, China (2010) yang merupakan pencapaian terbaik negara setakat ini.