Berita  | Sukan

Mara final Piala FA, pasukan Perak dapat bonus RM150,000

Mara final Piala FA, pasukan Perak dapat bonus RM150,000
Pasukan Perak layak ke final setelah berjaya menumpaskan pasukan Pahang pada saingan Separuh Akhir Kedua Piala FA Malaysia di Stadium Perak malam ini Keputusan penuh Perak menang dengan agregat 4-3. - Foto Bernama
IPOH: Kerajaan negeri mengumumkan bonus berjumlah RM150,000 kepada pasukan bola sepak negeri itu kerana berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala FA 2019.

Sambil mengucapkan terima kasih dan rasa bangga terhadap skuad 'The Bos Gaurus', Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pihak pengurusan diberikan mandat untuk mengagihkan bonus itu kepada semua yang terlibat.

"Sekiranya skuad 'The Bos Gaurus' mampu untuk menjulang Piala FA, InsyaAllah akan ada lagi bonus yang menanti mereka selepas ini," katanya menerusi kenyataan di Facebook beliau.
Terdahulu, Ahmad Faizal yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menerima kunjungan pemain dan pengurusan 'The Bos Gaurus' di kediaman rasmi menteri besar di sini kira-kira pukul 1.15 pagi tadi.

Perak mengesahkan tempat ke final Piala FA 2019 dengan agregat 4-3 ke atas Pahang setelah menundukkan skuad Tok Gajah itu 3-0 pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Perak, di sini, malam tadi.

BACA: Perak sahkan tiket ke perlawanan akhir Piala FA 2019

Ahmad Faizal dalam pada itu turut menzahirkan rasa gembira melihat suasana di Stadium Perak berubah dengan sorakan padu daripada para penyokong yang disifatkan beliau sebagai 'pemain ke-12'.

Sementara itu, jurulatih Perak, Mehmed Durakovic dalam ucapan ringkasnya pada pertemuan tersebut menyifatkan prestasi ditunjukkan anak buahnya pada perlawanan malam tadi sebagai sesuatu yang amat menakjubkan.

"Jika tahun lalu kita berjaya menamatkan badi 18 tahun tidak memenangi Piala Malaysia, tahun ini kita mahu tamatkan badi 15 tahun Piala FA pula. Semua yang berada dalam pasukan ini telah melaksanakan tugas dengan cukup fantastik.

"Saya sangat berterima kasih kepada semua. Semua kita adalah keluarga, kita menang bersama, kalah bersama," katanya.

-- BERNAMA

Tag: Menteri Besar, Piala FA, Piala Malaysia, bola sepak, kerajaan, Pasukan Perak, 'The Bos Gaurus', Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, mara ke final


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.