Atlet seni bela diri campuran (MMA) wanita negara, Colleen Augustin hanya mempunyai satu matlamat apabila beraksi dalam Kejohanan Dunia IMMAF 2019 di Manama, Bahrain nanti -- iaitu pulang sebagai juara dunia.

Colleen, 21, bakal menyertai kejohanan bertaraf antarabangsa itu bersama dua lagi atlet MMA tanahair, Brandon Tang dan Jay Chong.

Kejuaraan MMA amatur itu bakal berlangsung pada 10 hingga 16 Disember ini, dan akan disertai oleh 49 negara.

"Kem saya berjalan lancar, saya buat apa yang diberitahu oleh jurulatih Conrado (Furlan) dan juga apa yang diberitahu oleh dua lagi jurulatih saya, Bruninho (Barbosa) dan Mehdi (Bagheri).

"Dan kini matlamat saya ialah untuk pulang sebagai juara dunia," katanya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.

Ketika ditanya mengenai latihan, anak jati Pulau Pinang itu memberitahu kesemua sesi latihannya berlangsung di gim Monarchy MMA, di Kuala Lumpur.

"Saya telah mula membuat persediaan sejak pulang dari Kejohanan (Terbuka) Asia. Kesemua latihan saya di sini, jurulatih saya semua di sini, jadi saya tidak perlu pergi jauh.

"Bagaimanapun saya sangat berharap agar dapat bawa sekurang-kurangnya dua dari mereka (jurulatih). Tetapi tidak mengapa, Conrado ada bersama saya, saya sudah cukup yakin," katanya.

Kejohanan Dunia IMMAF merupakan pertandingan yang diselenggarakan oleh International Mixed Martial Arts Federation (IMMAF).

Colleen akan mewakili Malaysia dalam kategori senior strawweight wanita, Brandon akan bertanding dalam kategori senior strawweight lelaki, manakala Jay pula dalam kategori junior welterweight lelaki.

Untuk rekod, Colleen telah meraih pingat emas dalam Kejohanan Terbuka Asia di Bangkok, Thailand pada 5 Mei lalu.

BACA: Colleen raih emas untuk Malaysia di Kejohanan MMA Terbuka Asia

Dalam pertarungan tersebut, dia menewaskan Nurzhamal Sadykova dari Khzakhstan untuk menerusi TKO (technical knockout) pada pusingan kedua.

Kemenangan itu sekali gus menjadikan Colleen wanita Malaysia yang pertama memperolehi pingat emas dalam kejohanan bertaraf antarabangsa.

Selain MMA, Colleen turut aktif dalam sukan Muay Thai, kickboxing, Brazilian Jiu-jitsu dan Spartan Race.

Keyakinan terhadap kemampuan Colleen turut dinyatakan oleh Presiden Persatuan MMA Malaysia (MASMMAA) Rashid Salleh sebelum ini.

BACA: Colleen berpotensi jadi juara dunia MMA pertama Malaysia - MASMMAA

Dilihat sebagai atlet yang berdisiplin dan berdedikasi, Rashid turut menyifatkan Colleen sebagai 'Nicol David' untuk sukan MMA.

"Dia sangat bagus. Saya berani katakan dia adalah 'Nicol David' yang seterusnya untuk sukan MMA.

"Dia memang berdisiplin, ada pakej, berdedikasi, sangat cergas, sangat fokus, rendah diri, sentiasa belajar dari kesilapan, dan dia berlatih setiap hari dan dia juga seorang vegan," katanya.