Tutup

Berita  | Sukan

McGregor hanya perlukan 40 saat tumbangkan 'Cowboy' Cerrone

McGregor hanya perlukan 40 saat tumbangkan 'Cowboy' Cerrone
McGregor menewaskan Cerrone menerusi technical knockout (TKO) pada pusingan pertama. - Foto AP
HANYA 40 saat. Itu masa yang diperlukan oleh bintang UFC, Conor McGregor untuk menumbangkan pencabarnya, Donald ‘Cowboy’ Cerrone dalam acara utama UFC 246 sebentar tadi.

Aksi welterweight yang berlangsung di T-Mobile Arena, Las Vegas itu menyaksikan McGregor menewaskan Cerrone menerusi ‘technical knockout’ (TKO) pada pusingan pertama.

Sejurus bermulanya perlawanan, kedua-dua petarung kelihatan tidak teragak-agak untuk memulakan serangan.

Bagaimanapun tendangan padu kaki kiri McGregor yang hinggap tepat ke rahang kanan Cerrone, menggoyangkan petarung veteran dari Amerika Syarikat itu.
Dengan peluang yang terbuka, McGregor menerpa ke arah Cerrone sambil melepaskan tendangan lutut diikuti tumbukan yang merebahkan lawannya itu ke lantai Octagon.

Tanpa membuang masa, McGregor terus menghujani Cerrone dengan beberapa lagi siri tumbukan sehingga pengadil Herb Dean menghentikan perlawanan pada minit 0:40 pusingan 1.

Dengan kemenangan tersebut, jaguh dari Ireland itu kini memegang rekod profesional seni bela diri campuran (MMA), 22 - 4.

Untuk rekod, ini merupakan kemunculan pertama McGregor selepas hampir 15 bulan menyepi dari sebarang pertarungan MMA.

BACA: Kembali ke Octagon hujung minggu ini, McGregor jangka dapat bayaran RM326 juta

Kali terakhir McGregor bertarung ialah dengan juara lightweight UFC dari Rusia, Khabib Nurmagomedov pada Oktober 2018 dalam acara UFC 229, di mana dia tewas menerusi 'submission' pada minit 3.03 pusingan keempat.

Selepas perlawanan, timbul kekecohan yang menyebabkan McGregor dan Khabib didenda dan digantung pertarungan oleh Suruhanjaya Atlet Negeri Nevada (NSAC).

McGregor didenda sebanyak AS$50,000 (RM205,355) dan digantung enam bulan, manakala Khabib pula didenda AS$500,000 (RM2,053,953) dan digantung selama sembilan bulan.




Tag: UFC 246, UFC, Conor McGregor, Cowboy Cerrone, Donald Cerrone, McGregor vs Cowboy, MMA, TKO



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.