Berita  | Sukan

Mobile Legends: Empayar AirAsia Saiyan mula retak

Mobile Legends: Empayar AirAsia Saiyan mula retak
Khor Hoi 'Facebook' Cean (kiri) meraih kejayaan bersama-sama kapten pasukan MyA Mohd Zulshahrin Zulkifli selepas berjaya menewaskan AirAsia Saiyan dalam pusingan Upper Bracket seketika tadi. - Foto Astro AWANI / MARIAH AHAMD
PETALING JAYA: Empayar gergasi pasukan Mobile Legends nombor satu Malaysia AirAsia Saiyan dilihat mula sedikit ’retak’ selepas dikalahkan musuh tradisi Mysterious Assassins (MyA) 2-1 dalam pusingan peringkat upper bracket sebentar tadi.

AirAsia Saiyan yang bermula dengan penuh keyakinan dan komposisi yang baik terutama dengan penggunaan hero assassin Zilong oleh Rush (Herwin Baharuddin), Fanny yang digunakan ‘Penjahat’ (Sofian Sultan) serta sokongan daripada hero fighter Jawhead yang digunakan Fredo (Ahmad Fuad Razali).

Mereka juga yakin boleh menang menentang MyA tanpa kehadiran kapten Hawkeye (Mohd Farhan Kamari).

Perlawanan pertama berpihak kepada AirAsia Saiyan, hasil skil Zilong dan Jawhead iaitu Spear Flip dan Ejector menyebabkan gandingan AirAsia Saiyan memang tiada tandingan sehingga menyebabkan MyA kelam-kabut untuk menyusun semula kedudukan strategik serangan balas.

Tidak mudah panik, MyA mula mengatur strategi baharu pada perlawanan seterusnya dengan Facebook (Khor Hoi Cean) menggunakan antara hero marksman yang terbaik pernah dimainkannya iaitu Moskov.
Pemilihan Moskov oleh Facebook sememangnya tidak mengecewakan. MyA tahu, mereka perlu melengahkan masa untuk Facebook melakukan farming supaya item Moskov dapat dibeli dan disiapkan secepat mungkin untuk menghasilkan serangan kemusnahan yang tinggi sehingga mengurangkan tahap nyawa (HP) pemain AirAsia Saiyan.

Kira-kira minit ke-11 perlawanan itu, MyA berjaya meraih Wipe Out dengan kesemua hero pasukan AirAsia Saiyan berjaya dihapuskan. Tanpa membuang masa MyA mula menyerang semula kubu dan menara AirAsia Saiyan bagi meraih kemenangan perlawanan kedua itu yang mengheret AirAsia Saiyan ke pusingan ketiga.

BACA: Mobile Legends: MyA tidak mahu terus dilabel sebagai 'kedua terbaik' 

Perlawanan ketiga sememangnya menyebabkan peminat berdebar-debar, menggenggam tangan dan meletakkan sepenuh kepercayaan dan harapan kepada pasukan pilihan untuk menang kerana ini adalah pertarungan ‘dua raja’ yang merebut satu takhta, simbolik siapa yang paling hebat di Malaysia.

Kali ini Fredo dilihat masih menggunakan hero Jawhead, mencuba sebanyak mungkin untuk mengumpan MyA.

Tapi sayang sekali, MyA sudah tahu apa yang cuba dilakukan Fredo meskipun terkena sekali umpan berikutan beberapa masalah komunikasi.

Namun ia tidak menghalang MyA untuk kembali bangkit dan seterusnya memenangi perlawanan itu.

“MyA! MyA! MyA!” jerit peminat pasukan itu di pusat membeli-belah One Utama, menenggelamkan sorakan peminat AirAsia Saiyan yang riuh ketika perlawanan berlangsung.

“Sebenarnya kami sudah lama tidak bermain menggunakan meta (Strategi Paling Efektif) dua marksman seperti tadi Moskov dan Roger. 

"Kami baru sahaja bincang tadi dan ia menjadi. Saya sangat gembira,” luah kapten MyA King Zyzz (Mohd Zulshahrin Zulkifli) yang senyum sehingga ke cuping telinga.

Memang satu kepuasan yang terpancar di pihak MyA apabila dapat menewaskan AirAsia.

Namun perjalanan AirAsia Saiyan tidak berakhir di sini. Kekalahan di tangan MyA itu hanya menyebabkan mereka jatuh ke peringkat lower bracket.

AirAsia Saiyan bakal menentang Team Eksi seketika nanti untuk merebut peluang menjadi juara MPL 2018 dan membawa hadiah wang tunai kira-kira RM110,000.