CRISTIANO Ronaldo mendedahkan detik 'bersama' dengan teman wanitanya, Georgina Rodriguez, lebih unggul jika dibandingkan dengan gol terbaik sepanjang kerjaya bola sepaknya yang penuh bergemerlapan.

Bercakap dalam satu temu bual di ITV, pemain Portugal itu ditanya mengenai jaringan sepakan guntingnya untuk Real Madrid ke atas Juventus pada April 2018.

Pemain berusia 34 tahun itu bersetuju bahawa ia adalah jaringan terbaik dalam kerjayanya tetapi ia masih belum setanding dengan hubungan asmaranya dengan model berusia 25 tahun itu.

"Tidak, tidak (jika dibandingkan hubungan) saya dengan Geo, tidak!" Ronaldo berkata sambil tertawa dengan soalan itu.

"Saya cuba menjaringkan gol ini selama bertahun-tahun lamanya. Saya telah menyumbat 700 gol tetapi saya tidak pernah melakukan jaringan seperti itu. Saya fikir 'akhirnya saya telah mencetak satu gol melalui sepakan gunting, ia satu lompatan yang indah'.

"Ia dilakukan ketika saya menghadapi Gianluigi Buffon, menentang Juventus dalam Liga Juara-Juara (UCL), ia adalah satu gol yang indah."

Ronaldo turut bercakap tentang bagaimana "cinta pada pandangan pertamanya" dengan model Sepanyol, Rodriguez, tercetus ketika kali pertama bertemu di sebuah kedai Gucci.

"Geo, seperti yang anda tahu, merupakan sebahagian daripada saya, dia amat membantu saya.

"Dia merupakan kawan saya. Kami sempat berbual. Saya membuka hati saya untuknya, dia membuka hatinya untuk saya," jelas bintang Juventus itu.

Apabila ditanya sama ada dia akan menikahi Rodriguez tidak lama lagi, Ronaldo menambah: "Pada suatu hari kelak, sudah pasti kami akan (berkahwin).

"Ia juga adalah impian ibu saya. Oleh itu, pada suatu hari kelak, mengapa tidak?"

BACA: Gugur air mata Ronaldo tonton rakaman temubual dengan mendiang bapa

BACA: Ronaldo gantung but tahun depan?

Dalam masa sama, ketua pasukan Portugal itu mengesali ayahnya, Dinis Aveiro, tidak sempat melihat kejayaan yang diraihnya.

Ayahnya menghembuskan nafas terakhir ketika Ronaldo berusia 20 tahun akibat tabiat mengambil minuman keras.

"Keluarga saya menyaksikanya (kejayaan). Ibu, saudara-saudara bahkan anak sulung saya berkesempatan tetapi ayah saya, dia tidak pernah melihat apa-apa (kejayaan) dan dia meninggal dunia pada usia yang muda," katanya.

"Saya mempunyai imej ini untuk diperlihatkan kepada keluarga saya, tetapi saya tidak tahu 100 peratus mengenai ayah saya.

"Dia seorang pemabuk, saya tidak pernah bercakap dengannya melalui perbualan yang biasa.

"Kesedihan? Menjadi pemain nombor satu dan dia tidak sempat melihat apa-apa pun dan tidak pernah melihat saya menerima anugerah."