Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin, mengesahkan akan bertanding bagi jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam Kongres FAM ke-46 yang bakal diadakan pada 14 Julai depan.

Katanya, ia juga mungkin merupakan pengakhiran kariernya bersama FAM seandainya tidak dilantik sebagai presiden.

"Masa depan saya bersama FAM akan terjawab pada hari kongres berkenaan sama ada akan dilantik sebagai presiden atau tidak.

"Sekiranya kalah, saya tidak akan bersama FAM lagi," katanya dalam satu sidang media di Wisma FAM, di sini, hari ini.

Hamidin turut menambah, pengalaman beliau bersama FAM sejak 2013 bersama tiga presiden berlainan iaitu Sultan Haji Ahmad Syah, Tengku Abdullah ibdi Sultan Ahmad Syah, dan Tunku Ismail akan digunakan sebaiknya sekiranya dilantik jawatan presiden itu.

Sidang media itu bersempena dengan Mesyuarat Khas Pertama Exco 2017-2021 yang membincangkan mengenai Tengku Makhota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang meletak jawatan baru-baru ini.

Menurut Tunku Ismail, Hamidin merupakan individu paling layak memegang jawatan 'kerusi panas' itu malah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan exco-exco FAM turut menyokong saranan itu.

BACA: Hamidin calon terbaik teraju FAM - Khairy

Sementara itu, jawatan Pemangku Presiden FAM kini digalas oleh Datuk Mohd Yusoff Mahadi sehingga kongres akan datang.

BACA: Yusoff Mahadi dilantik pemangku Presiden FAM

"Tunku Ismail Sultan Ibrahim sering bertitah 'bola sepak untuk rakyat'. Mungkin inilah masa yang terbaik bagi rakyat biasa memimpin FAM," jelasnya.

Oleh itu, menurut beliau, sudah sampai masanya jawatan presiden FAM dikembalikan kepada rakyat biasa.

Ujarnya lagi, FAM akan masih bekerjasama yang erat bersama Tunku Ismail yang masih memegang jawatan Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Semenjak tahun 1958, jawatan Presiden FAM hanya dipegang oleh ahli politik dan kerabat diraja dan sekiranya Hamidin dilantik, beliau merupakan individu pertama dalam kalangan rakyat biasa menjadi Presiden FAM.