Selepas digugurkan dari Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, atlet angkat berat, Hafifi Mansor menerima satu lagi tamparan apabila jurulatihnya Mohd Shukri Talib meninggal dunia malam tadi.

Menurut Hafifi, Mohd Shukri atau lebih dikenali Poksu meninggal dunia secara mengejut dan mempunyai latar belakang menghidap kencing manis.

Dalam entri terbarunya di Facebook Hafifi mengucapkan terima kasih kepada Shukri kerana mendidik beliau sehingga menjadi yang terbaik di Malaysia.

"Terima kasih kerana mendidik saya selama ini sampai saya menjadi yang terbaik di negara kita. Saya selalu ingat kata-kata dan nasihat dari kamu.

"Walaupun banyak masalah di sana. Saya balik untuk bertemu Poksu kali terakhir. Saya nak Poksu tahu.. Poksu idola saya sampai bila-bila. Tenanglah kamu di sana," catat Hafifi.

BACA: Hafifi perlu percaya kepada pakar

Mohd Shukri, 42, mula melatih Hafifi sejak berusia 12 tahun.

Jenazahnya dikebumikan di Seberang Baruh, Kuala Terengganu, pagi ini.

Semalam Hafifi akur dengan nasihat Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar supaya menerima kenyataan digugurkan daripada bertanding di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.