PERCAYALAH kepada pakar.

Itu reaksi Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, ketika diminta mengulas isu pengguguran atlet angkat berat negara, Mohd Hafifi Mansor, daripada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Hafifi digugurkan daripada skuad angkat berat untuk temasya KL2017 selepas Institut Sukan Negara (ISN) mendapati kecederaan pahanya masih belum pulih.

Begitupun, ketika sesi latihan semalam, Hafifi berjaya melakukan angkatan 200 kilogram, sekali gus dilihat sebagai tanda rasa tidak puas hati dengan penggugurannya itu.

Walaupun Hafifi tampak mampu membuat penampilan sulungnya dalam temasya dwitahunan itu, Khairy menegaskan pandangan pakar juga perlu diambil kira demi karier atlet terbabit.

"Saya mengetahui bahawa Hafifi masih mampu untuk melakukan angkatan 200kg tanpa sebarang masalah. Tetapi kami perlu percaya kepada pakar," kata Khairy.

"Ada kalanya keputusan yang dilakukan oleh pakar perubatan ialah untuk memastikan kecederaan yang dialami oleh Hafifi tidak berlarutan."

Pandangan yang sama dilontarkan oleh ketua kontinjen Malaysia ke Sukan SEA, Datuk Marina Chin, yang tidak mahu kecederaan yang dialami oleh Hafifi berlarutan dan terdapat beberapa kejohanan besar pada tahun depan menantinya.

"Pada pendapat saya, saya tidak mahu melihat Hafifi beraksi dalam Sukan SEA dengan kesakitan yang dialami masih belum pulih sepenuhnya.

"Tahun hadapan Malaysia akan mengharungi saingan Sukan Komanwel dan Sukan Asia. Perkara yang terbaik buat Hafifi adalah mendengar nasihat doktor dan membuat persiapan bagi saingan seterusnya," katanya.

Hafifi mengalami kecederaan serius pada lutut kiri ketika menjalani latihan di China, Jun lalu, dan ia berlaku apabila dia cuba melakukan angkatan sehingga 190 kilogram.