PRESIDEN UFC Dana White berkata tiada masalah baginya jika Conor McGregor hadir untuk menyaksikan perlawanan di antara Khabib Nurmagomedov dan Dustin Poirier pada acara UFC 242, 7 September nanti.

Memetik laporan Bloody Elbow, White percaya tidak ada apa-apa masalah yang akan timbul sekiranya 'musuh tradisi' Khabib itu turun pada acara tersebut yang bakal diadakan di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Saya tidak fikir ia akan menjadi masalah. Secara jujur saya percaya orang-orang di rantau itu turut sukakan Conor McGregor. Saya tahu mereka ambil serius apa yang telah (McGregor) katakan.

"Tetapi Khabib menang pertarungan tersebut, dan saya fikir yang lain-lain tu hanya cakap kosong saja.

"Mereka tidak suka satu sama lain, tetapi ia sebahagian daripada bisnes. Secara budaya, saya tidak fikir begitu. Saya tiada masalah dengan Conor hadir," katanya dalam temubual dengan ESPN.

BACA: McGregor tidak layak untuk 'rematch' dengan saya - Khabib

BACA: Hina isteri Khabib "seperti tuala", McGregor dikecam dan dilabel rasis

BACA: Pasukan Khabib sudah mula kem latihan untuk UFC 242?

Ketegangan yang wujud di antara Khabib dan McGregor wujud sejak pertembungan mereka pada UFC 229, Oktober tahun lalu yang berakhir dengan McGregor dikalahkan menerusi 'submission' pada minit 3.03 pusingan keempat.

Selepas perlawanan, Khabib tiba-tiba naik angin dan melompat keluar dari gelanggang dan menyerang orang dari pasukan McGregor.

Menurutnya, tindakan itu dilakukan selepas dia dihina berbulan-bulan oleh McGregor termasuk serangan bas di Brooklyn.

Perbalahan di antara kedua-dua bintang seni bela diri campuran (MMA) itu juga pernah disifatkan oleh White sebagai “sudah sampai ke tahap tidak boleh diterima”.

Pada acara UFC 242 nanti, Khabib akan mempertahankan kejuaraan lightweight yang disandangnya dengan Poirier, yang merupakan juara lightweight interim.

Dia baru-baru ini telah memperbaharui kontrak dengan UFC untuk kemunculannya pada acara tersebut nanti.

Poirier pula meraih gelaran juara lightweight interim UFC selepas menewaskan Max Holloway pada aksi UFC 236 di Atlanta, Georgia, April lalu.