Pemain muda negara, Muhammad Syahmi Safari menerima suntikan semnagat dalam karier bola sepak apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Gol Terbaik Piala AFF Suzuki 2018 pada malam Anugerah Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) di Hanoi, Vietnam, malam tadi.

Selain itu, pemain Selangor berusia 21 tahun itu turut terpilih dalam Kesebelasan Utama (XI) Piala AFF Suzuki 2018 bersama-sama dengan dua pemain negara, Mohamed Syamer Kutty Abba dan Norshahrul Idlan Talaha.

Jaringan unik Muhammad Syahmi dihasilkan dari luar kotak penalti selepas menerima hantaran mengelirukan dari rakan sepasukan pada aksi separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2018 bertemu Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok pada 5 Dis tahun lalu.

Skuad Harimau Malaya mara ke pentas akhir dengan kelebihan gol di tempat lawan menerusi agregat 3-3.

Menurut entri terbaru dalam Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menerima anugerah tersebut bagi pihak Muhammad Syahmi.

Jaringan tersebut turut dicalonkan oleh FAM untuk Anugerah Puskas FIFA bagi tahun ini namun ia tidak tersenarai dalam 10 jaringan yang dipilih oleh panel pemilihan badan induk berkenaan.

BACA: FAM calonkan gol Syahmi ke Anugerah Puskas FIFA 2019


PEMENANG ANUGERAH AFF:


Pemain Terbaik:

Lelaki: Nguyen Quang Hai (Vietnam)

Wanita: Pitsamai Sornsai (Thailand)



Pemain Belia Terbaik: Suphanat Mueanta (Thailand)



Pasukan Terbaik: Thailand (Lelaki); Vietnam (Wanita)



Jurulatih Terbaik:

Lelaki: Park Hang Seo (Ketua Jurulatih Vietnam)

Wanita: Nuengrutai Srathongvian (Ketua Jurulatih Ratchaburi Mitr Phol)



Pasukan Futsal Terbaik: Thailand (Lelaki)

Pemain Futsal Terbaik: Tran Van Vu (Vietnam)

Persatuan Terbaik: Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI)

Gol Terbaik: MUHAMMAD SYAHMI SAFARI (Malaysia) - Piala AFF Suzuki 2018



Pengadil Terbaik: Lelaki: Sivakorn Pu-Udom (Thailand); Wanita: Katherine Margaret Jacewicz (Australia)

Pembantu Pengadil Terbaik: Lelaki: Ronnie Koh Min Kiat (Singapura); Wanita: Supawan Hinthong (Thailand)



Kesebelasan Utama Piala AFF Suzuki 2018:

Dang Van Lam, Que Ngoc Hai, Nguyen Quang Hai (Vietnam); Korrakot Wiriya-Udomsiri, Sanrawat Dechmitr (Thailand), Riko Simanjuntak (Indonesia), Muhammad Safuwan Baharuddin (Singapura), Stephan Shrock (Filipina), Muhammad Syahmi Safari, Mohamed Syamer Kutty Abba, Norshahrul Idlan Talaha (Malaysia).

-- BERNAMA