Sama seperti pencapaian negara lain -- kemerdekaan, pembentukan Malaysia, dan kemudian mengorak langkah ke Malaysia Baharu -- kejayaan dalam arena sukan turut menuntut kerjasama yang melintasi garisan kaum dan agama.

“Bukan semua skuad dan mereka di belakang tabir semasa Suzuki Cup 2010 orang Melayu sahaja. Kita tengok assistant coach bangsa Cina, coach bangsa India,” kata Ahmad Yazid, pengarah dan penerbit dokumentari Road to Nationhood.

“Kebanyakannya orang Melayu tapi kita ingat balik siapa yang pass balik kepada Safee apabila dia score - Kunanlan yang assist dan menyebabkan benda itu boleh berlaku.”

Sempena pertemuan Malaysia dan Indonesia malam ini di Stadium Gelora Bung Karno, Yazid menceritakan tentang pengalaman menerbitkan episod ‘Tigers Resurrected: Suzuki Cup 2010’ ketika ditemu bual di AWANI Pagi.


Kisah ‘Tigers Resurrected’ bermula dengan isu pengaturan perlawanan yang membelenggu arena sukan negara pada era 80-an dan 90-an sehingga hilang keyakinan rakyat terhadap pasukan bola sepak negara.

Namun, nasib pasukan negara berubah pada Piala AFF Suzuki 2010.

Malaysia berjaya menundukkan Indonesia pada final Piala AFF 2010 dengan agregat 4-2 selepas mencatat kemenangan 3-0 pada aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebelum tumpas 1-2 di Gelora Bung Karno pada perlawanan akhir kedua.

Selain daripada usaha kerjasama pihak berbilang kaum, antara faktor lain di sebalik kejayaan itu merupakan persahabatan yang terjalin sejak pemain-pemain tersebut masih kecil lagi.

Kata Yazid, “Salah satu perkara yang saya belajar, pasukan pada tahun 2010 ini kebanyakannya datang dari Sekolah Sukan Bukit Jalil.

“Mereka dah duduk, makan, minum, tidur sama-sama dah bertahun-tahun. Apabila FAM memulakan program Harimau Muda sekitar tahun 2004 atau 2005.

“Apabila mereka dah bersama-sama sejak kecil, mereka serasi di padang. Perkara ini merupakan formula yang menyebabkan kejayaan mereka.”

BACA: Cheng Hoe mahu lakar rekod tersendiri berdepan Indonesia

Kali terakhir Malaysia menewaskan Indonesia di Gelora Bung Karno adalah pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2004 di mana skuad kendalian Bertalan Bicskei meraih kemenangan 2-1.

Kisah 'Tigers Resurrected' akan ditayangkan di Astro Arena (801) jam 6 petang Khamis, di History Channel (555) pada Sabtu 9.05 malam, Astro Awani (501) pada Ahad jam 3 petang, dan Astro Prima pada 9 malam Isnin, 9 September ini.