Tutup

Demonstrasi 5G bermula Oktober, pelaburan RM116 juta - Pengerusi SKMM

Demonstrasi 5G bermula Oktober, pelaburan RM116 juta - Pengerusi SKMM
AL-ISHSAL: Kami berharap sebahagian daripada kes kegunaan 5G dapat dikomersialkan bermula suku ketiga tahun 2020. - Gambar BERNAMA
CYBERJAYA: Malaysia bakal menyaksikan demonstrasi bagi kes-kes kegunaan 5G bermula Oktober ini dengan anggaran pelaburan berjumlah RM116 juta daripada lapan syarikat.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Al-Ishsal Ishak berkata, ia sejajar dengan aspirasi Kerajaan untuk mempercepatkan pelaksanaan 5G untuk perniagaan merentasi pelbagai industri seperti pelancongan, penjagaan kesihatan dan pertanian.
Jelasnya, sebanyak 32 tapak 5G di enam buah negeri iaitu Kedah, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur akan beroperasi untuk tempoh selama enam bulan, dengan 55
kes kegunaan 5G.

"Ia membabitkan sembilan vertikal iaitu pertanian, pendidikan, hiburan/media, penjagaan kesihatan digital, pemprosesan dan pembuatan, minyak dan gas, bandar pintar, pengangkutan pintar dan pelancongan.
"Projek-projek demonstrasi 5G akan tertumpu kepada usaha untuk memupuk pembangunan sebuah ekosistem 5G yang holistik dan inklusif di dalam negara dalam usaha untuk merangsang permintaan serta penggunaan teknologi 5G bagi perniagaan dan pengguna.

"Kami berharap sebahagian daripada kes kegunaan 5G dapat dikomersialkan bermula suku ketiga tahun 2020," katanya semasa sidang media selepas sesi taklimat media 5G di pejabatnya di sini, pada Isnin.

BACA: Teknologi 5G: Ujian diperluas ke seluruh negara Oktober ini - Gobind

BACA: 
Ujian kepantasan 5G diperluas di lima negeri lain

Jelasnya, lapan syarikat yang mengambil bahagian akan mempamerkan kes-kes kegunaan 5G mereka merentasi sembilan vertikal di enam buah negeri iaitu Kedah, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur.

Antara 55 kes-kes kegunaan 5G itu termasuklah lampu isyarat pintar, parkir pintar, diagnosis jarak jauh, pelancongan perubatan, perundingan perubatan jarak jauh, pertanian pintar,
penjejakan kenderaan dan 5G 360° Panoramic Live Video Surveillance.

Menurut Al-Ishsal, sokongan teguh dan pelaburan daripada syarikat-syarikat yang mengambil bahagian membuktikan komitmen pihak industri dalam mewujudkan penggunaan kukuh untuk aplikasi-aplikasi 5G berdaya maju yang akan memberi impak positif kepada taraf hidup rakyat.

"MCMC berharap agar kes-kes kegunaan ini dapat menarik lebih banyak pelaburan ke dalam pembangunan 5G di Malaysia serta cadangan-cadangan untuk memperhebatkan kesalinghubungan di negeri-negeri lain di seluruh negara," katanya.



Tag: SKMM, MCMC, kerajaan, pendidikan, kesihatan, pelancongan, minyak, perubatan, pelaburan, rakyat, hiburan, 5G



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.