SYARIKAT teknologi terkemuka Apple Inc mula menjual edisi terbaharu telefon bimbitnya iPhone X (dibaca iPhone 10) di pasaran hari ini.

Model terkini telefon pintar oleh Apple itu boleh didapati mulai hari ini di lebih 50 negara termasuk Amerika Syarikat, China, United Kingdom, Singapura, Australia, Jepun dan India.

Pelancaran rasmi iPhone X di Malaysia walau bagaimanapun masih belum diumumkan.

Ia dijangka dijual pada harga RM5,149 untuk storan 64GB dan RM5,899 bagi storan 256GB.

Apple sebelum ini membuka pra-pesanan untuk pembelian model itu pada 27 Oktober lalu.

Versi unik yang diperkenalkan sempena ulang tahun ke-10 ini mempunyai skrin menyeluruh berpaparan Super Retina, pengecasan tanpa wayar dan Animoji iaitu revolusi emoji baharu.

BACA: 8 perkara anda perlu tahu mengenai iPhone X

Ia juga boleh didapati dalam dua warna iaitu Space Grey dan Silver.

Buat pertama kalinya, Apple menampilkan iPhone tanpa butang ‘home’.

Berbanding dengan iPhone 8 atau sebelumnya, iPhone X mempunyai skrin 5.8 inci dan boleh diakses melalui ciri baharu “face ID” iaitu pengesanan wajah.

Edisi ini turut menggunakan paparan Super Retina yang menyokong HDR dalam Dolby Vision dan HDR10.