Sistem kabel dasar laut 20,000 km siap - TM

Sistem kabel dasar laut 20,000 km siap - TM
TM: Projek ini dijangka dapat menampung keperluan perniagaan masa depan TM dan meningkatkan pertumbuhan jalur lebar lebar antarabangsa. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Konsortium South-East Asia - Middle East - Western Europe 5 (SEA-ME-WE 5) hari ini mengumumkan pembinaan prasarana kabel dasar laut sepanjang 20,000-kilometer telah siap.

Naib Presiden Eksekutif Global dan Borong Telekom Malaysia Bhd (TM), Mohammad Rozaimy Abdul Rahman, berkata sistem kabel itu yang telahpun mula mengangkut trafik dijangka dapat memenuhi pertambahan empat kali ganda permintaan jalur lebar di 18 negara dari Asia Tenggara ke Eropah Timur.

"Projek ini dijangka dapat menampung keperluan perniagaan masa depan TM dan meningkatkan pertumbuhan jalur lebar lebar antarabangsa, Transit Protokol Internet (IP), Rangkaian Persendirian Maya IP, rangkaian saling sambung dan perkhidmatan hala balik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Konsortium SEA-ME-WE 5, Linette Lee berkata, sistem itu akan memudahkan Era Baharu transformasi digital dan inovasi, memangkin aktiviti ekonomi yang lebih rancak, perdagangan dan pertumbuhan di tiga benua itu. -- Bernama