Tiada jenis senaman yang mampu menurunkan berat badan jika ia tidak disertai amalan pemakanan yang betul.

Itu yang ditegaskan pakar kecergasan, Kevin Zahri, sebagai mengulas laporan beberapa portal tentang senaman zumba yang dikatakan tidak direka untuk menurunkan berat badan.

Kata Kevin, menurunkan berat badan memerlukan kombinasi senaman dan pengawalan pengambilan kalori.

"Objektif zumba adalah untuk meningkatkan pembakaran kalori, buat anda rasa gembira dan menghilangkan tekanan.

"Ia juga boleh meningkatkan kecergasan jika peserta betul-betul push, tetapi tanpa kawalan pemakanan, tiada jenis senaman yang boleh membantu," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Dalam masa yang sama, Kevin juga menyarankan pemilihan senaman yang bersesuaian kerana kemampuan setiap individu itu berbeza.

"Bagi yang tidak biasa, senaman yang mencabar akan menyukarkan mereka mengawal degupan jantung. Ini berbahaya kerana boleh membawa kepada risiko kecederaan.

"Saranan saya, carilah jenis senaman yang boleh buat anda enjoy dan anda mampu kawal," tambahnya lagi.

Beberapa hari lalu, portal The Jakarta Post melaporkan pengasas zumba, Beto Perez, memaklumkan program tersebut tidak direka untuk menurunkan berat badan, sebaliknya hanya untuk membantu memberi rasa gembira kepada peserta.

"Koreografi zumba akan menghasilkan endorfin yang membuatkan kita rasa gembira. Zumba merupakan program untuk seisi keluarga berseronok dan mengeratkan hubungan," kata Perez seperti yang dipetik dari portal itu.

Perez yang mengunjungi Jakarta untuk melatih ratusan jurulatih zumba tentang program itu, turut menambah bahawa senaman yang diciptanya itu bertujuan untuk membawa keseronokan, berbanding senaman lain yang 'membosankan'.