ISU kesihatan menjadi tunjang utama dalam gaya hidup individu.

Namun, akibat alpa, tahap kesihatan boleh jatuh di tangan kita sendiri jika amalan dan rutin seharian tidak menuruti cara yang betul.

Apakah tip mudah boleh diamalkan seumur hidup bagi kesihatan diri anda?

Ini lima perkara yang boleh membantu meningkatkan tahap kesihatan anda tidak kira usia:


1. Jangan terima toksik ke dalam badan

Amalan pengambilan bahan-bahan bertoksik seperti rokok, alkohol dan dadah perlu dijauhi.

Meskipun bahan-bahan ini membawa keseronokan dan kepuasan, namun kesannya boleh memudaratkan kesihatan untuk jangka masa panjang.

Alkohol, umpamanya, boleh memberikan kesan toksik kepada organ badan jika diambil dalam jumlah yang banyak.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kesan toksik alkohol kepada otak boleh menyebabkan gangguan mental seperti kemurungan dan psikosis.

Selain itu, dari segi makanan ringan, pemilihan makanan yang berkhasiat seperti susu segar, jus buah, sayuran mentah boleh dididik sejak individu itu kecil lagi.

Ini penting kerana corak pemakanan yang diamalkan pada waktu remaja pula selalunya akan menjadi tabiat dan diteruskan semasa dewasa.

Bagi umat Islam, bulan Ramadan antara peluang untuk dijadikan sebagai pendorong kepada pendidikan dan tabiat pemakanan yang mengajar diri agar sentiasa menjaga nafsu selain boleh dijadikan sebab anda untuk berhenti merokok.


2. Tidur nyenyak 'seperti bayi'

Tidur yang berkualiti mampu mempertingkatkan kesihatan anda.

Tidur yang mencukupi juga memberikan badan kita masa dan tenaga untuk pulih daripada ketegangan hari sebelumnya dan membantu kita untuk kekal cergas dan fokus sepanjang hari.

Jika anda sukar tidur seperti kerap terjaga ketika tidur atau tidak selesa, amalkan tip berikut:

3. Angkat barang dan kerap bergerak

Senaman mampu pertingkatkan tahap hormon, membuat anda rasa lebih sihat dan mengurangkan risiko penyakit.

Dalam pada itu, aktiviti fizikal secara berkala boleh membuatkan anda mendapat tidur yang berkualiti serta lebih cepat tidur.

Namun, jangan bersenam ketika menghampiri waktu tidur.


4. Elakkan stres melampau

Stres boleh menganggu kesihatan anda selain menyebabkan pertambahan berat badan dan pelbagai jenis penyakit.

KKM menggariskan amalan untuk pengurangan stres melalui kaedah dikenali ‘10 B’ iaitu bertenang, bernafas dengan dalam, bertenang, beribadat, bercakap dengan seseorang, berurut, berehat dan mendengar muzik, beriadah, bersenam dan berfikiran positif.


5. Elakkan makan makanan diproses

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pemakanan yang tidak sihat merupakan salah satu punca kepada penyakit tidak berjangkit seperti sakit jantung, kanser, penyakit pernafasan dan penyakit kencing manis.

Makanan proses seperti sosej, daging burger dan mee segera antara makanan yang perlu dielakkan.

Anda boleh memilih makanan segar, seperti buah, sayur atau bijiran.

Amalkan tip ini seumur hidup anda walaupun ia memerlukan masa untuk dibiasakan.